KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kira-kira 15 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas, termasuk sekitar Kota Kinabalu dan kawasan pantai timur Sabah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pasukan Light Strike Force (LSF) dan Public Order Riot Unit (PORU) turut akan digerakkan sekiranya terdapat insiden melibatkan kekerasan atau gangguan ketenteraman awam.
“Saya menyeru semua parti politik, NGO dan pertubuhan untuk mengekalkan keamanan. Jangan cetuskan provokasi, isu perkauman atau fitnah. Kita mahu suasana harmoni Sabah terus kekal demi rakyat negeri ini dan seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat sempena Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara bersama petugas PDRM bagi PRN Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam.
Mohd. Khalid berkata, seramai 4,300 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sempena hari penamaan calon PRN Sabah esok membabitkan 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri.
Menurutnya, seramai 9,300 pegawai dan anggota ditempatkan di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman terjamin sepanjang proses pilihan raya di 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Beliau berkata penugasan itu turut membabitkan kerjasama rapat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, termasuk dalam aspek kawal selia keselamatan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Kita mahu memastikan semua berjalan lancar, termasuk kawalan trafik serta kemudahan untuk semua pihak terlibat. Petugas CID juga diarahkan melakukan penugasan khusus,” katanya.
Mohd Khalid turut memaklumkan bahawa polis mempunyai pasukan bantuan seramai 1,200 anggota, yang akan digerakkan bergantung kepada penilaian keperluan semasa oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, terutama mengambil kira perubahan cuaca Monsun Timur Laut.-UTUSAN










