PETALING JAYA: Kawalan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini turut tertumpu terhadap kemungkinan ancaman ekstremisme dan pengganas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, selain itu, ancaman keselamatan siber dan potensi tunjuk perasaan tidak terkawal serta pengurusan trafik di sekitar lokasi utama persidangan juga dikenal pasti sebagai antara cabaran utama semasa persidangan itu berlangsung.
“Bagi menghadapi cabaran tersebut, langkah-langkah proaktif telah diambil termasuk risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan tindakan khas di lokasi strategik.
“Sebanyak 10,170 pegawai dan anggota PDRM telah digerakkan bagi melaksanakan penugasan keselamatan sepanjang acara berprestij itu berlangsung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata penugasan berkenaan turut melibatkan penggunaan pelbagai aset darat dan udara termasuk dron pemantauan, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi dan sistem komunikasi taktikal bersepadu.
Beliau berkata, pada masa sama, PDRM juga menggunakan pendekatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan.
“Selain lokasi utama persidangan dan hotel penginapan rasmi delegasi, kawalan keselamatan sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak turut meliputi semua pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat.
“Kawasan strategik di sekitar Lembah Klang seperti Putrajaya turut berada di bawah pemantauan rapi dan semua kontinjen PDRM telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak cuba menganjurkan perhimpunan di ibu kota sehingga ia mengganggu ketenteraman awam, trafik dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau berkata pihak polis mendapat maklumat awal mengatakan terdapat perancangan untuk mengadakan beberapa perhimpunan di ibu kota dan memberi jaminan PDRM akan menguruskan perkara itu dengan baik.
“Pesanan saya kepada masyarakat jangan membuat gangguan terhadap majlis (Sidang Kemuncak ASEAN), laluan ke majlis dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam. jika terdapat pelanggaran terhadap perkara ini, ia akan dianggap sebagai jenayah,” katanya. – UTUSAN










