PASIR MAS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan menghalang penjawat awam sehingga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu cedera ketika menjalankan tugas dan memandu secara melulu pada minggu lalu.
Tertuduh, Abdul Hakim Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Abdullah Mohd. Rodzlad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Koperal Mohd. Hafiz Shamsudin yang merupakan pegawai polis dalam menjalankan fungsi awam di lorong kecil Jalan Kedai Lama, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari pada 24 Oktober 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Abdul Hakim dituduh memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis secara melulu yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di kawasan Jalan Kedai Lama, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 2 petang pada hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mahfuzah Mahmud.
Terdahulu, Mazlinda mencadangkan hukuman setimpal agar tertuduh tidak melakukan kesalahan yang sama dan mengambil faktor kecederaan yang dialami mangsa.
Mahfuzah dalam rayuannya memohon hukuman penjara minimum kerana tertuduh yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan hanya RM50 sehari tidak mampu membayar denda yang bakal ditetapkan oleh mahkamah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap iaitu pada 25 Oktober 2026 bagi pertuduhan pertama dan penjara bagi tempoh sama dan denda RM5,000 selain penjara lapan bulan jika gagal membayar jumlah tersebut untuk pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan memiliki lima botol plastik lutsinar berwarna putih berisi cecair disyaki dadah jenis kodein dengan anggaran isipadu 600 mililiter di lokasi, waktu dan tarikh yang sama dengan pertuduhan kedua.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan tersebut selain menetapkan 28 Februari 2026 bagi laporan kimia.
Tertuduh tidak membayar denda dan ikat jamin yang dibenarkan oleh mahkamah. – UTUSAN











