HLB perluas pembayaran QR di lebih 120 juta peniaga di China - Utusan Malaysia

HLB perluas pembayaran QR di lebih 120 juta peniaga di China

KEVIN Lam (tiga dari kiri) bersama Timbalan Presiden UnionPay International, Carlson Li (tengah) dan Andrew Jong (dua dari kiri) selepas majlis perkenalan kemudahan pembayaran kod QR itu di Sofitel Kuala Lumpur Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelanggan Hong Leong Bank (HLB) kini boleh menggunakan HLB QR Pay untuk membuat pembayaran secara terus di lebih 120 juta peniaga di China yang menerima kod QR UnionPay International (UPI) dan Weixin Pay.

Kemudahan itu diperkenalkan menerusi kerjasama strategik HLB dengan UPI bagi memperluas kesalinghubungan pembayaran rentas sempadan untuk pelanggan yang melancong, menjalankan urusan perniagaan dan meneroka peluang di luar Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, kerjasama itu bertujuan memastikan pelanggan menikmati keyakinan dan kemudahan sama ketika melakukan pembayaran di luar negara seperti di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pelanggan HLB membawa bank itu merentasi sempadan Malaysia melalui perniagaan yang mereka bangunkan, hubungan kekeluargaan yang dikekalkan serta peluang yang diterokai.

“Kami mahu mereka menikmati keyakinan dan kemudahan yang sama ketika melakukan pembayaran di luar negara seperti membuat pembayaran di Malaysia.

“Pada asasnya, pembayaran rentas sempadan hanya dapat dilaksanakan dengan lancar apabila wujud kepercayaan daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam transaksi.

“Pelanggan perlu yakin bahawa pembayaran mereka akan berjaya, manakala peniaga pula perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka akan menerima bayaran tersebut.

“Berbekalkan pengalaman lebih satu abad dalam bidang pembayaran rentas sempadan serta komitmen terhadap inovasi, keutamaan kami adalah untuk memastikan kepercayaan ini terus terpelihara ke mana sahaja pelanggan kami pergi,” katanya semasa perkenalan kemudahan pembayaran kod QR itu di sini, semalam.

Selain China, kerjasama berkenaan turut membolehkan pelanggan HLB membuat pembayaran di premis perniagaan yang mengambil bahagian di Hong Kong, Macau dan Thailand menerusi fungsi HLB QR Pay dalam aplikasi perbankan mudah alih HLB Connect.

Di China, kemudahan itu merangkumi peruncit utama, restoran, perniagaan kecil dan peniaga individu dengan pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran.

Beliau berkata, kerjasama dengan UPI yang memanfaatkan rangkaian antarabangsa mereka yang luas termasuk Weixin Pay membolehkan kami menyediakan kemudahan pembayaran dengan jangkauan global yang lebih meluas serta tahap kepastian dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata, pembayaran QR merupakan sebahagian penting daripada kehidupan harian dan aktiviti perdagangan di China.

“Kaedah pembayaran ini digunakan secara meluas, daripada pusat beli-belah dan restoran hingga ke gerai makanan jalanan serta peniaga di pasar luar bandar.

“Memandangkan China merupakan destinasi utama bagi pelancong, ahli perniagaan, golongan profesional dan pelajar dari Malaysia, kami memahami kepentingan menyediakan pengalaman pembayaran QR yang mudah dan tersedia secara meluas.

“Ia juga selamat dengan perlindungan keselamatan bertaraf perbankan, boleh dipercayai dan mesra pengguna,” katanya.

Selain mengimbas kod QR yang dipaparkan peniaga, pelanggan juga boleh memaparkan kod QR menerusi aplikasi HLB Connect untuk diimbas oleh peniaga.

Kedua-dua kaedah itu digunakan secara meluas di China dan membolehkan pelanggan membuat pembayaran terus daripada akaun HLB tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga atau menambah nilai dompet digital.

Hong Leong Bank merupakan antara tiga bank terawal menyokong pelaksanaan pembayaran QR rentas sempadan Alipay+ oleh PayNet, yang membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran di luar negara, termasuk di China dan Hong Kong menggunakan DuitNow QR melalui aplikasi perbankan mudah alih sedia ada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini