PETALING JAYA: Malaysia menggesa kerjasama antarabangsa diperkukuh bagi menjamin kestabilan pasaran gas global dan keselamatan bekalan tenaga, yang menjadi asas penting kepada daya saing industri, keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi mampan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, sebaliknya tonggak strategik keselamatan tenaga, daya saing industri dan pembangunan mampan.
“Gas asli terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan fleksibiliti sistem bekalan elektrik, meskipun kapasiti tenaga boleh baharu terus dipertingkatkan.
“Keperluan itu semakin ketara berikutan peningkatan permintaan tenaga di rantau Asia dan ASEAN, khususnya bagi menyokong aktiviti perindustrian serta pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, Akmal berkata, gangguan bekalan dan turun naik harga tenaga, Malaysia turut menekankan kepentingan ketelusan pasaran, kepastian dasar serta pelaburan berterusan sepanjang rantaian nilai gas asli.
“Kerjasama lebih erat antara negara pengeluar dan pengguna gas perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya tahan bekalan tenaga serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap projek jangka panjang.
“Sebagai negara pengeluar dan pengeksport gas asli yang turut mengimport gas asli cecair (LNG), Malaysia komited mengimbangi perdagangan tenaga antarabangsa dengan keperluan bekalan domestik.
“Sehubungan itu, kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Asli Negara (NGR) bagi memperkukuh jaminan bekalan, pembangunan infrastruktur, kecekapan pasaran dan daya saing industri, selaras dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam ucapan.
Beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Forum Negara-Negara Pengeksport Gas (GECF) Ke-8 yang dipengerusikan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Akmal turut menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Menteri GECF Ke-28 pada 26 Oktober lalu.
Pelan itu melengkapi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus bahagian tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang penjanaan elektrik menjelang 2050.
Dalam konteks peralihan tenaga, gas asli dijangka terus menyokong kebolehpercayaan sistem elektrik, seiring usaha meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan pelepasan metana dan memperluas penggunaan teknologi pengurusan karbon.
“Malaysia turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara negara anggota dan pemerhati GECF dalam perkongsian maklumat serta analisis pasaran, perdagangan LNG, pembangunan infrastruktur dan pertukaran teknologi.
“Kerjasama tenaga jangka panjang dengan Rusia juga berpotensi diperkukuh berasaskan jaminan bekalan, daya maju komersial dan manfaat bersama,” katanya.
Di luar mesyuarat berkenaan, Akmal turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Rusia, Sergey Tsivilev dan Setiausaha Agung GECF, Dr. Philip Mshelbila bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan pasaran tenaga serta meneroka potensi kerjasama strategik.
“Malaysia kekal komited melaksanakan peralihan tenaga secara pragmatik dan seimbang dengan mengutamakan keselamatan bekalan, kemampuan harga dan kelestarian alam sekitar.
“Pendekatan itu penting bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti industri serta menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.-UTUSAN











