PETALING JAYA: Sebuah lagi kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dikenali sebagai Free Willy, yang membawa tiga aktivis Malaysia, dilaporkan dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa pada jam 7.53 pagi waktu Gaza.
Perkara itu disahkan oleh Sumud Nusantara menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook mereka hari ini.
“Kapal ini membawa tiga orang delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Tiga aktivis Malaysia yang berada di atas kapal berkenaan ialah Muhd. Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, serta Dr. Taufiq Mohd. Razif.
Ia menjadikan 15 sukarelawan dari negara ini ditahan rejim Zionis setakat ini selepas Israel bertindak memintas kapal misi itu di Laut Mediterranean. – UTUSAN










