Rakyat Malaysia pelbagai latar belakang sokong Sumud Flotilla

Rakyat Malaysia pelbagai latar belakang sokong Sumud Flotilla

Seorang wanita memberi isyarat ketika dia menaiki kapal bersama aktivis dan pembela hak asasi manusia lain, berlepas dari pelabuhan Bizerte di utara Tunisia, pada 14 September 2025 untuk menyertai bot terakhir yang mengambil bahagian dalam Flotilla Sumud Global, menuju ke Gaza untuk memecahkan sekatan Israel di wilayah Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agama dan kaum di Malaysia sambil menzahirkan pujian kepada keberanian dan keteguhan semua aktivis terlibat.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan 12 badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai latar belakang agama dan kaum, pihaknya turut merakan penghargaan dan sokongan kepada aktivis Sumud Flotilla yang membawa mesej kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap keberanian aktivis Misi Sumud Flotilla yang telah membawa mesej solidariti kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya, hari ini.

Gabungan tersebut turut menyambut baik pembebasan semua aktivis yang ditahan, serta menganggap ketabahan mereka sebagai simbol keberanian sejagat dalam menentang kezaliman dan ketidakadilan.

“Perjuangan ini belum berakhir, usaha kemanusiaan, kesedaran serta solidariti terhadap rakyat Palestin akan diteruskan ke fasa seterusnya,” katanya.

Menyorot semangat keharmonian masyarakat majmuk Malaysia, gabungan ini menegaskan bahawa isu Palestin bukan semata-mata isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keprihatinan seluruh insan.

“Kebebasan dan maruah rakyat Palestin mesti dihormati sebagaimana yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan solidariti merentasi kaum dan agama adalah kekuatan sebenar Malaysia iaitu suara perpaduan dan keadilan sejagat.

“Kemanusiaan menyatukan kita. Solidariti ini akan terus hidup hingga Palestin merdeka,” katanya.

Kenyataan bersama ini ditandatangani oleh pemimpin dan wakil pelbagai agama serta komuniti termasuk Dr. Muhammad Fairuz Azmi (Youth for Unity Malaysia); Shah Kirit Kakulal Govindji (Global Unity Network); Jason Leong (Association of Next Gen Christians of Malaysia); Dr. Balachandran Gopal Krishnan (Malaysia Hindu Sangam Terengganu) dan Dr. Charanjit Kaur (Aktivis agama Sikh).

Turut menandatangani adalah Loh Pai Ling (Aktivis agama Buddha); Dr. Shawn Loh Sheng Nian (Asia Pacific Entrepreneurs Association), Harinder Kaur (Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia); Low Lee Leong (Gerakan Rakyat Patriotik); Chew Hoong Ling (Aktivis Sosial); Syahrul Md Yusoff (Kitakan Kawan) dan Tai Zee Kin (Pendukung Perpaduan).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN