Kerajaan Malaysia sedia heret Zionis ke mahkamah antarabangsa

Kerajaan Malaysia sedia heret Zionis ke mahkamah antarabangsa

AMIRUDIN Shari ketika berucap pada sambutan ketibaan peserta Malaysia GSF 2.0 di KLIA.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan sedia mengheret rejim Zionis ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) selepas segala maklumat dan dokumen bukti selesai dikumpulkan oleh pasukan peguam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil berikutan siri kekejaman termasuk insiden culik dan penyeksaan yang dilakukan ke atas aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 khususnya melibatkan peserta dari Malaysia.

Menurutnya, langkah tegas itu akan disusuli dengan tindakan berterusan pihak kerajaan dalam memberikan tekanan di peringkat diplomatik bagi mendesak pembebasan sepenuhnya wilayah Gaza.

“Kita tidak akan diam, kita tidak akan berhenti. Sementara pasukan peguam akan mengumpulkan segala maklumat dokumen pelanggaran undang-undang antarabangsa, mereka (peserta GSF) diculik bukan sekali dua kali, mereka diseksa.

“Bukan hanya itu, kita juga akan bawa ke mahkamah antarabangsa, kita akan meneruskan tekanan di peringkat diplomatik dan kita juga akan menjelajah di seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, walaupun misi GSF 2.0 telah selesai, namun komitmen kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor tidak akan terhenti setakat itu bagi memastikan suara membebaskan Gaza terus bergema.

Jelasnya, terdapat perancangan untuk membawa penganjuran konferens dan persidangan antarabangsa berkaitan Palestin ke Malaysia pada masa hadapan bagi menilai serta memperkasakan lagi perjuangan tersebut.

Kata beliau, langkah itu juga sebagai menyahut saranan Chief de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman yang mahu perjuangan tersebut diteruskan menerusi Misi Sumud 3.0 akan datang demi menamatkan krisis kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

“GSF 2.0 telah bergerak dengan lebih kuat dan pantas, dan kali ini kita bukan hanya datang dengan pasukan dan bala tentera di laut ataupun peserta di laut, tetapi kita turut bersama-sama melalui peserta di darat, melalui pintu Rafah dan kita telah menyelesaikan ataupun hampir menyelesaikan 30 kontena yang kita akan muktamadkan dalam masa terdekat.

“Sumud 3.0 akan terus membawa perjuangan ini sampailah kita dapat membuka kepungan di Gaza, membuka mata dunia dan membuka mulut kita dan menghentikan kesunyian dunia dengan apa yang telah berlaku dalam krisis kemanusiaan yang berpanjangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN