KUALA LUMPUR: Sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan serta bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, rekod operasi dan jualan premis berkenaan tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Menurut beliau, JAKIM memandang serius perkara itu kerana membabitkan pematuhan hukum syarak, kebersihan dan keyakinan masyarakat terhadap status halal bekalan ayam di pasaran.
“Premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan dan bukan merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
“Maka, segala rekod operasi dan jualan oleh premis ini tidak berada dalam rekod pemantauan pensijilan halal JAKIM dan juga Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Zulkifli berkata, pensijilan halal Malaysia bersifat sukarela, justeru kawal selia semua premis penyembelihan memerlukan kerjasama pelbagai agensi mengikut bidang kuasa masing-masing.
Katanya, JAKIM bersama JAIN dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melaksanakan kawalan melalui pensijilan halal, pengauditan serta pemantauan terhadap premis penyembelihan yang memegang SPHM.
“Penilaian merangkumi sumber haiwan, kelayakan penyembelih, kaedah pelalian, proses penyembelihan, kebersihan, pengendalian produk dan sistem pengurusan halal.
“JAKIM terus memperkukuh pemeriksaan bersepadu, perkongsian maklumat serta siasatan terhadap aduan bagi melindungi kepentingan pengguna dan integriti bekalan ayam halal.
“Bagi produk atau premis yang disyaki menggunakan logo atau pernyataan halal yang mengelirukan, JAKIM bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan untuk menjalankan semakan dan siasatan,” katanya.
Tambah beliau, penempatan penyelia halal merupakan syarat bagi rumah sembelihan yang ingin memohon SPHM.
Katanya, tindakan sudah diambil dalam beberapa kes termasuk mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 kepada tiga syarikat kerana tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – UTUSAN











