Selebriti, komuniti bukan Islam mahu serta GSF 2.0

Selebriti, komuniti bukan Islam mahu serta GSF 2.0

MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) ke Gaza menerima gelombang sokongan baharu apabila berjaya menarik minat komuniti bukan Islam termasuk selebriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, beberapa selebriti dan tokoh masyarakat menzahirkan hasrat untuk terlibat atau menyokong misi tersebut, sekali gus berpotensi meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel di peringkat antarabangsa.

Katanya, sebarang penglibatan individu berprofil tinggi itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan ke­rana CGM bersama rakan strategik Sumud Nusantara sedang meneliti secara berhati-hati.

“Kami tidak akan mendedahkan sebarang nama selagi tiada pengesahan rasmi. Yang penting, penyertaan mereka bukan sekadar simbolik tetapi benar-benar menyumbang kepada tekanan awam dan perubahan polisi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan GSF 2.0 dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun ini dengan sasaran lebih 100 kapal dan penglibatan kira-kira 3,000 sukarelawan dari seluruh dunia sebagai usaha meningkatkan tekanan antarabangsa untuk menghentikan sekatan ke atas Gaza.

Pada September lalu, misi pertama berjaya menghimpunkan penyertaan dari 45 negara termasuk 34 sukarelawan Malaysia, namun dipintas tentera Israel sebelum para aktivis ditahan dan dihantar pulang, sekali gus mencetuskan kecaman meluas masyarakat antarabangsa.

Menurut Muhammad Nadir, pasukan sumber manusia CGM bersama Jawatankuasa Global GSF sedang memuktamadkan proses pendaftaran yang dijangka dibuka dalam masa terdekat, melibatkan sukarelawan pasukan laut dan darat.

Katanya, penyertaan dalam GSF 2.0 akan melalui proses ta­pisan ketat, dengan keutamaan diberikan kepada sukarelawan yang memiliki kemahiran khusus dan nilai tambah kepada misi.

“Kali ini kita tidak hanya membawa sukarelawan secara umum. Keutamaan diberikan kepada me­reka yang mempunyai kemahiran teknikal seperti nakhoda kapal, juruelektrik, pakar enjin, doktor, tenaga pengajar, jurutera dan pakar pembinaan yang boleh membantu pembangunan semula Gaza.

“Semua peserta diwajibkan melalui proses pemilihan dan latihan yang lebih menyeluruh bagi mengurangkan risiko. Kita ingin memastikan misi ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan berbanding edisi terdahulu,” katanya.

Tambahnya, GSF 2.0 turut di­rancang dengan tempoh perse­diaan lebih panjang, dianggarkan sekitar tiga bulan, bagi memper­kukuh aspek keselamatan, logistik dan diplomatik sebelum misi memasuki fasa mutakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN