GSF 2.0: Lapan rakyat Malaysia ditahan tentera rejim Zionis

GSF 2.0: Lapan rakyat Malaysia ditahan tentera rejim Zionis

SANI Araby Abdul Alim Araby pada sidang media khas perkembangan terkini misi GSF 2.0. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai lapan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ditahan tentera Israel hari ini selepas kapal yang dinaiki mereka dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mereka yang ditahan termasuk aktivis, Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA yang menaiki kapal Amanda kira-kira pukul 5 petang tadi, manakala, Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas kira-kira pukul 5.20 petang.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef dipercayai turut ditahan berdasarkan paparan langsung di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini.

Antara rakyat Malaysia lain termasuk S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Mohamed Senin yang menaiki kapal Ferluto dipercayai ditahan tentera rejim Zionis sekitar pukul 4.50 petang tadi.

Manakala, Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari yang menaiki kapal Cactus pula ditahan sekitar pukul 4 petang.

Sementara itu, menerusi sidang akhbar, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan bermula pukul 3 sehingga 6 petang tadi, kapal GSF telah dihampiri secara agresif oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

Menurut beliau, kedudukan flotilla ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.

“SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya lima kapal melibatkan lapan rakyat Malaysia telah terkesan dalam insiden tersebut.

“Pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju jenis RIBs (Rigid Inflatable Boats) ke arah flotilla selain mengesan kehadiran dua dua kapal perang (warship) dan sebuah kapal tahanan (prison ship) berhampiran kawasan operasi flotilla,” katanya.

Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan bahawa 41 kapal flotilla termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan oleh pihak IOF.

“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla,” ujarnya.

Pada 14 Mei lalu, misi GSF 2026 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira pukul 7.30 malam waktu Malaysia.

Seramai 29 peserta Malaysia berumur antara 22 tahun hingga 58 tahun terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang berlayar dari Marmaris dengan peranan masing-masing termasuk kapten, pembantu kapten, kru, pegawai perubatan dan juruteknik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN