ALOR SETAR: Faktor hubungan cinta yang tidak berbalas hingga menimbulkan perasaan cemburu disyaki menjadi motif kejadian seorang ibu tunggal ditikam di leher oleh kenalan lelakinya dalam kejadian di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, semalam.
Kedua-dua mereka yang bekerja dalam bidang hartanah dipercayai mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu dan tiba di pekarangan sebuah restoran di situ beberapa minit sebelum kejadian.
Tindakan mangsa berusia 35 tahun yang membunyikan hon kenderaan sehingga menarik perhatian orang ramai berjaya menyelamatkan wanita itu apabila dibantu petugas sebuah klinik berhampiran yang memberi rawatan awal terhadap kecederaan parah di bahagian leher.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 32 tahun dipercayai menggunakan objek tajam seperti pemecah ais, pemutar skru atau pisau untuk mencederakan wanita terbabit.
“Kita masih mengesan senjata atau objek yang digunakan suspek sehingga menembusi leher mangsa dari arah kiri ke kanan yang ketika itu berada di tempat duduk pemandu, sementara suspek di sebelahnya.
“Setakat ini, kita percaya motif kejadian akibat cemburu atau perasaan tidak berbalas iaitu cinta bertepuk sebelah tangan, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Adzli berkata, kedua-dua mereka tidak turun daripada kereta di tempat kejadian dan berkemungkinan ada bertengkar sebelum kejadian itu yang berakhir dengan serangan terhadap mangsa.
Tambah beliau, lelaki terbabit pernah ditahan disebabkan kes serupa beberapa tahun lalu, namun pengadu iaitu teman wanita suspek tidak berhasrat meneruskan kes yang kemudian diklasifikasikan dengan dibebaskan terus (DNA).
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek negatif daripada pengambilan sebarang bahan terlarang. Suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya diberkas dalam tempoh empat jam pada jarak lebih enam kilometer dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang wanita cedera parah di leher akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian pada pukul 9.19 malam di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
Suspek kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Mangsa yang merupakan ibu kepada dua anak kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. – UTUSAN










