PETALING JAYA: OCBC Bank melancarkan program #OCBCCares Adopt-A-School dengan komitmen sasaran sebanyak RM1 juta setahun bagi menyediakan sokongan berterusan kepada 40 sekolah di seluruh negara.
Menerusi inisiatif ini, OCBC Bank akan mengambil sekolah angkat melalui cawangan dan bahagiannya untuk tempoh minimum tiga tahun bagi memastikan sokongan yang mampan dan bermakna.
Sekolah-sekolah yang dipilih terletak berhampiran cawangan dan pejabat Bank, membolehkan OCBC menyumbang secara langsung kepada komuniti yang dilayan sambil mewujudkan impak positif jangka panjang kepada pelajar, keluarga dan masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, pihaknya mewujudkan program ini kerana kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk berjaya.
“Bagi ramai pelajar, sokongan praktikal seperti alat pembelajaran yang lebih baik, persekitaran yang lebih kondusif dan pendedahan di luar bilik darjah mampu memberi perubahan besar terhadap cara mereka belajar dan berkembang.
“Melalui Program #OCBCCares Adopt-A-School, kami mahu menyokong sekolah dan guru dalam usaha mereka mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih baik untuk pelajar.
“Setelah lebih 100 tahun bertapak di Malaysia, kami amat dekat dengan komuniti yang kami layani dan kekal komited untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang negara, di mana pendidikan memainkan peranan penting,” katanya dalam kenyataan.
Program ini dilancarkan di SMK Bandar Tasik Selatan, salah satu sekolah angkat OCBC Bank yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk lebih 100 pelajar berkeperluan khas.
Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Tasik Selatan, Rohazlina Othman berkata, sokongan daripada organisasi swasta seperti OCBC Bank memberikan nilai tambah yang bermakna kepada sekolah awam, khususnya sekolah inklusif seperti sekolah.
“Penglibatan OCBC Bank membantu memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar kami sambil mengukuhkan kepentingan inklusiviti dan tanggungjawab bersama dalam komuniti.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh OCBC Bank,” katanya.
Program #OCBCCares Adopt-A-School dilancarkan serentak hari ini di lima sekolah di seluruh Malaysia iaitu Kolej Vokasional Batu Lanchang dan SMK Batu Maung di Pulau Pinang, SMK Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur, serta Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas dan SJK (C) Ban Foo di Johor.
Dengan pelancaran ini, OCBC Bank kini telah mengambil sebanyak sembilan sekolah sebagai sekolah angkat di bawah program tersebut.-UTUSAN










