Saya sudah kahwin, peminat tidak perlu kecewa - Kim Khairii - Utusan Malaysia

Saya sudah kahwin, peminat tidak perlu kecewa – Kim Khairii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Kim Khairii mengesahkan dirinya sudah bergelar suami selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Kim atau Muhammad Daniel Khaqim Mohd. Khairi, 23, berkata, dia bukan sengaja menyembunyikan perkahwinannya, sebaliknya memilih untuk menjaga privasi keluarga.

“Betul, saya sudah berkahwin dan mendirikan rumah tangga tahun lalu.

“Saya memilih untuk menjaga privasi. Apa yang penting sekarang, orang sudah tahu saya sudah berkahwin,” katanya ketika ditemui pada program Talk To My Manager musim kedua di Auditorium MBSA, semalam.

Mengulas lanjut, Kim turut berkongsi dia kini memiliki seorang cahaya mata lelaki yang berusia empat bulan.

Bagaimanapun, atas permintaan isterinya, dia tidak berkongsi sebarang hantaran berkaitan keluarga di media sosial.

“Saya sudah mengenalinya selama empat tahun sebelum berkahwin. Kami juga dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia empat bulan.

“Saya memilih untuk merahsiakan perkara itu di media sosial dan tidak berkongsi foto bersama isteri serta anak.

“Lagipun isteri saya kurang selesa wajahnya dikongsi kepada umum,” katanya.

Terdahulu, timbul komen di media sosial yang mendakwa Kim sudah bergelar suami, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.

Bercerita lanjut, Kim berkata isterinya pernah bergelar penyanyi di bawah sebuah syarikat rakaman sebelum memilih kerjaya di luar bidang seni.

Katanya, pengalaman itu membuatkan isterinya memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap penyertaannya dalam TTMM2.

“Isteri saya dulu seorang penyanyi dan pernah menjadi artis rakaman, tetapi hanya seketika sebelum memilih untuk bekerja di luar bidang seni.

“Saya hanya boleh beri bayangan bahawa isteri berasal dari Sabah. Alhamdulillah, dia sangat menyokong perjalanan saya dalam TTMM2.

“Isteri cuma berpesan supaya saya menjaga diri kerana sejak dua bulan lalu dia berada di Sabah. Insya-Allah, jika saya berjaya ke peringkat akhir, mungkin dia akan datang menyaksikan persembahan saya,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai identiti isterinya, Kim enggan mendedahkan nama wanita berkenaan, namun memberi bayangan bahawa isterinya juga pernah bergelar penyanyi berasal dari Sabah.

Tambahnya, peminat tidak perlu kecewa dengan status dirinya kerana dia tetap akan memberikan persembahan terbaik buat semua.

“Saya rasa peminat tidak perlu kecewa apabila tahu saya sudah berkahwin kerana saya menyanyi untuk menghiburkan semua.

“Kalau perkara ini menyebabkan saya kehilangan peminat, saya reda.

“Saya tidak perlu sorok status kerana lambat-laun orang akan tahu juga,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads mendakwa Kim sudah mendirikan rumah tangga.

Menurut dakwaan itu, individu berkenaan pernah menemui Kim bersama isterinya sebelum perkara tersebut menjadi perhatian netizen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN