PUTRAJAYA: Sebanyak lima buah sekolah berasrama penuh (SBP) akan menjadi perintis program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional dalam Kecerdasan Buatan (TVET-AI) bermula tahun ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu selepas KPM memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) hari ini.
Katanya, kerjasama strategik ini memperkukuh TVET-AI di SBP sebelum dikembangkan lagi pada masa hadapan.
“MoU ini adalah cerminan komitmen KPM memastikan agenda reformasi pendidikan yang memacu kecemerlangan akademik dengan kemahiran teknikal masa hadapan menerusi integrasi AI.
“Langkah strategik ini memberi nilai tambah signifikan kepada usaha kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate – Artificial Intelligence (HCIA-AI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
KPM berkata, prakarsa TVET-AI juga bertepatan dengan agenda Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberikan tumpuan kepada penciptaan bakat masa hadapan.
Ini sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan TVET serta menggalakkan kerjasama strategik dengan industri dan akademia. – UTUSAN










