SEPANG: Salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotila (GSF) 2.0, Razman Mat Ali dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh 21 hari.
Ketika ini, beliau sedang dirawat di Istanbul, Turkiye berikutan berdepan ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby yang turut mengesahkan beliau mengalami kecederaan serius iaitu kebocoran di paru-paru kiri selepas diserang tentera Israel.
“Beliau kini dilaporkan stabil dan kini berada di Istanbul selepas menjalani pembedahan. Beliau dijangka dibenarkan pulang dan terbang ke Malaysia dalam tempoh 21 hari lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tadi.
Katanya, ketika ini, Razman tidak dibenarkan terbang berikutan bimbang tekanan udara dalam pesawat menyebabkan kecederaan beliau semakin serius.
“Justeru kerajaan Turkiye telah memaklumkan mereka akan menjaga beliau dan kita juga ada wakil daripada Sumud Nusantara yang menemani beliau,” katanya.
Katanya, pasukan guaman Sumud Nusantara iaitu Centre For Human Rights Research and Advocacy (Centhra) turut dihantar bagi mengambil keterangan dan bahan bukti terhadap kekejaman Israel. – UTUSAN










