Program Khas Tahfiz diiperluas di semua institusi pendidikan Mara

Program Khas Tahfiz diiperluas di semua institusi pendidikan Mara

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Khas Tahfiz kini diperluas ke hampir semua Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMA), merangkumi GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Profesional Mara (KPM), Universiti Poly-Tech Mara (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen Mara untuk melahirkan generasi profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki kekuatan rohani dan jati diri Islam yang kukuh.

Beliau berkata, sebelum ini Program Ulul Albab telah dilaksanakan di semua 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara dan menunjukkan hasil positif dalam melahirkan pelajar berdisiplin serta seimbang dari segi akademik dan hafazan al-Quran.

“Selain semua 57 MRSM yang telah melaksanakan program Ulul Albab, kini program khas Tahfiz turut diperluas ke peringkat IPMA termasuk institusi latihan kemahiran dan universiti di bawah MARA,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, pelaksanaan program itu membuktikan usaha Mara untuk memastikan pendidikan berteraskan Islam dapat diterapkan di semua peringkat pengajian di bawahnya.

“Ini adalah antara inisiatif untuk membentuk pelajar Mara yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran tinggi, tetapi juga berakhlak mulia dan memiliki kefahaman agama yang mantap,” katanya.

Tambah beliau, usaha memperluas program tersebut turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak yang melihat pendekatan ini sebagai pelengkap kepada pembangunan insan holistik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN