KUALA LUMPUR: Penganjuran Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2026 menyasarkan transaksi jualan melebihi RM60 juta serta kehadiran lebih 300,000 pengunjung tahun sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 27 hingga 29 November ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sasaran itu ditetapkan susulan pencapaian memberangsangkan pada penganjuran terdahulu yang merekodkan transaksi jualan sebanyak RM50 juta.
Katanya, jumlah pempamer turut ditingkatkan daripada 200 pada tahun lalu kepada 220 pada edisi kali ini melibatkan pelbagai sektor dan subsektor industri automotif.
“Tahun lepas kami mencapai transaksi jualan sebanyak RM50 juta. Kali ini kami mempunyai sasaran, ia mesti menjangkau lebih daripada RM60 juta transaksi.
“Daripada segi kehadiran pengunjung pula, tahun lepas kita mencatatkan penyertaan yang begitu hebat. Tahun ini, saya berikan KPI kepada pengurusan Mara untuk memastikan pengunjung yang hadir melebihi 300,000 orang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Prapelancaran Matec 2026 di sini, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, penganjuran Matec turut membuka ruang kepada usahawan di bawah agensi itu menjalinkan pelbagai kerjasama strategik dengan pemain industri automotif.
Katanya, kejayaan dua edisi terdahulu menjadi batu loncatan kepada Mara untuk memberi tumpuan lebih besar terhadap sektor automotif, khususnya dalam meningkatkan penyertaan bumiputera.
“Kami percaya Mara mempunyai ekosistem yang lengkap daripada segi institusi pendidikan yang terkait dengan pembangunan usahawan dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkaitan automotif.
“Pada masa sama, kami juga sudah lama terlibat dalam pembangunan usahawan bumiputera dalam sektor automotif. Dengan keseluruhan ekosistem ini, saya rasa Matec sudah menjadi satu platform penting untuk kita bergerak dengan lebih besar lagi,” katanya.
Beliau berkata, Matec 2026 membawa tiga aspirasi utama iaitu Future Automotive, TVET Excellence dan Electric Mobility.
Beliau berkata, jika tahun lalu tumpuan diberikan kepada kenderaan elektrik (EV), edisi kali ini memperluaskan fokus kepada masa depan industri automotif secara keseluruhan.
Katanya, pendekatan itu diharap dapat memberi perspektif lebih luas kepada bumiputera khususnya usahawan muda supaya tidak hanya selesa dengan penglibatan dalam sektor automotif tradisional dan konvensional.
Sebaliknya, katanya, mereka perlu melihat peluang untuk menceburi sektor berteknologi tinggi dan bidang automotif futuristik yang menawarkan pasaran lebih luas pada masa hadapan. – UTUSAN











