Perjanjian persefahaman antara 5 fokus SPRM dalam mesyuarat MENA-ARIN

Perjanjian persefahaman antara 5 fokus SPRM dalam mesyuarat MENA-ARIN

AHMAD Khusairi Yahaya dalam Mesyuarat Pertama Asset Recovery Inter-Agency Network for The Middle East and North Africa (MENA-ARIN) di Jeddah, Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima perkara utama telah dibentangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Mesyuarat Pertama Asset Recovery Inter-Agency Network for The Middle East and North Africa (MENA-ARIN) di Jeddah, Arab Saudi, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, lima perkara itu ialah menentukan perbezaan undang-undang antara setiap negara agar dapat dimurnikan dalam satu perjanjian persefahaman.

Katanya, tindakan ini yang akan dijadikan garis panduan bagi rujukan setiap negara serta meningkatkan kerjasama melalui perkongsian dan pertukaran maklumat risikan antara agensi antirasuah.

“Rujukan ini juga adalah bagi pengesanan pesalah dan harta atau aset yang dipindahkan dari satu negara ke negara tertentu.

“Selain itu, latihan kepakaran dalam kalangan anggota penguat kuasa pencegahan rasuah khususnya dalam aspek undang-undang antara negara dalam proses siasatan dan pendakwaan kes-kes rasuah bersifat merentasi sempadan serta mewujudkan ‘point of contact’ untuk memperkemaskan proses pertukaran maklumat risikan dan siasatan juga perlu dipertingkat,” katanya dalam ucaptamanya.

Katanya, satu mekanisme bagi penyaluran, pemantauan dan saluran membincangkan permasalahan serta jalan penyelesaian di kalangan ahli perlu diwujudkan.

“Setiap ahli memainkan peranan serta tanggungjawab bagi memastikan jaringan kerjasama yang diwujudkan mencapai objektif penubuhannya,” jelasnya.

Ujarnya, SPRM diiktiraf di peringkat antarabangsa atas pengalaman dan kepakaran malah Malaysia berperanan sebagai pakar rujuk dalam penyediaan terma rujukan khusus bagi MENA-ARIN berdasarkan pengalaman penyiasatan jenayah rasuah merentasi sempadan.

“Ini merupakan mesyuarat dan forum pertama dianjurkan oleh NAZAHA bagi merangka dasar serta strategi antirasuah yang mengkhusus kepada proses pengesahan, penyitaan dan perlucuthakan aset-aset hasil jenayah rasuah di negara-negara terlibat,” katanya.

Untuk rekod, MENA-ARIN merupakan forum pertama anjuran Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA) Kingdom of Saudi Arabia yang dianggotai sebanyak lebih 30 buah negara di Timur Tengah dan Utara Afrika.

Mesyuarat Kali Pertama ini julung-julung kalinya diadakan sebagai menyahut Chapter 4 United Nations Against Corruption (UNCAC) iaitu jalinan kerjasama antara negara dalam memerangi jenayah rasuah merentasi sempadan.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN