PETALING JAYA: Malaysia mahu pelan damai yang sedang berlangsung di Gaza menjadi gencatan senjata kekal sekali gus merintis pembentukan negara Palestin merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengusahakan pelan damai itu namun melihatnya sebagai gencatan senjata yang rapuh.
“Kami memantau dari semasa ke semasa, ada sedikit sinar walaupun samar untuk menuju ke arah keamanan, (sebab itu) Malaysia antara segelintir negara seperti Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil menyokong gencatan senjata itu dengan syarat tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Kuala Lumpur Conference On A New Just and Humane International Order 2025, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun pelan damai itu dialu-alukan namun dunia tidak boleh berpura-pura seolah-olah semuanya telah berakhir dengan baik.
“Tiada rancangan untuk keamanan yang menyeluruh, tiada jaminan untuk rakyat Palestin kembali ke tanah mereka dan tiada kenyataan jelas yang menjamin pembentukan sebuah negara Palestin merdeka.
“Kita mesti jujur untuk mengatakan bahawa kita tidak mahu satu lagi pause (gencatan senjata sementara) di antara peperangan. Kita sedang berurusan dengan (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu dan kabinetnya, kita tidak (boleh) berpura-pura. Mereka tidak akan menghormati perjanjian itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia telah berkali-kali menegaskan bahawa gencatan senjata yang dilaksanakan mestilah menjadi ‘pintu masuk’ kepada usaha membina semula Gaza.
“Jadi bagi kita, gencatan senjata itu mesti menjadi pintu masuk kepada usaha membina semula Gaza, mengembalikan maruah, dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri,” katanya.
Anwar berkata, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur tidak lama lagi akan menjadi platform untuk Malaysia menyuarakan pendirian dalam isu-isu berbangkit.
“Timbul pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai jemputan kepada Presiden Trump ke (Sidang Kemuncak) ASEAN, tetapi saya memberi jaminan bahawa akan terus bersuara.
“Kita akan menyatakan pendirian kita secara lisan dan jelas seperti dilakukan sebelum ini di hadapan (bekas) Presiden (AS, Joe) Biden, (bekas Canselor Jerman) Olaf Scholz dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN









