Malaysia tidak terlibat Pelan Damai Gaza, mengapa jemput Trump?

Malaysia tidak terlibat Pelan Damai Gaza, mengapa jemput Trump?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Damai Gaza yang dirintis Donald Trump tidak melibatkan Malaysia sekali gus kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak diperlukan Ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada asas mengatakan Malaysia ingin menjadi medium perbincangan damai tersebut apatah lagi lawatan itu lebih kepada perbincangan ekonomi antara ASEAN.

“Pelan Damai tidak melibatkan Malaysia, ia diterokai oleh Qatar, Mesir dan Arab Saudi dan akan berlaku seandainya pihak terlibat bersetuju.

“Kami melihat soal perjanjian damai tidak memerlukan kehadiran Trump ke Malaysia pun. Tiada asas mengatakan Malaysia ingin menjadi medium perbincangan damai tersebut.

“Justeru, pendirian kami (Pas) tetap membantah jemputan kepada Trump yang melakukan pengkhianatan ke atas kejadian di Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tuan Ibrahim berkata, beliau melihat kehadiran Trump di negara ini bercanggah dengan prinsip Malaysia yang memperjuangkan isu Palestin selama ini.

Katanya, Malaysia tidak sepatutnya menjemput Trump sejak awal lagi sehinggakan kerajaan kini terpaksa mencari pelbagai alasan bagi mengukuhkan alasan jemputan tersebut.

“Isu utama ialah jemputan, kini tidak mungkin kerajaan mahu batal jemputan tersebut.

“Kita juga sedar di belakang Israel adalah AS, saya lihat ia bercanggah kerana Malaysia menyokong Palestin yang mengecam kekejaman Israel sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini AS masih menjadi pelindung kepada Israel dalam melakukan genosid di Gaza.

“Kebuluran terus berlaku, penghantaran senjata terua dibuat, penggunaan kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah pengkhianatan Trump,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kehadiran Trump ke ASEAN pada akhir Oktober ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai isu Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, peluang ini akan digunakan untuk mendesak penyelesaian segera terhadap konflik Gaza, sambil menekankan pentingnya perundingan dua hala dalam mencapai resolusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×