Israel perlu hormati suara dunia - Ahmad Zahid

Israel perlu hormati suara dunia – Ahmad Zahid

Israel
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengeboman berterusan di Gaza oleh Israel akan menjadi masalah besar walaupun Pelan Gencatan Senjata yang mengandungi 20 perkara dan sudah pun dipersetujui Hamas pada fasa pertamanya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Israel perlu menghormati suara dunia berhubung krisis kemanusiaan yang berlaku di negara tebing barat itu.

“Masyarakat dunia rata-rata mengutuk sikap Israel yang biadab dan mereka mesti menjadi komponen kepada masyarakat antarabangsa dan itu harus diakuri dan dipatuhi oleh mereka.

“(Justeru) kita menuntut Israel menghentikan sebarang serangan serta sekatan bantuan kemanusiaan dan makanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Malah, beliau turut menggesa Israel melepaskan aktivis-aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera negara itu ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Lepaskan tahanan-tahanan Flotilla (GSF) yang sedang berada di penjara atau pusat tahanan di Israel,” tegasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai Gaza.

Beliau menggambarkan persetujuan itu sebagai langkah bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini ke arah menamatkan perang dua tahun di wilayah tersebut.

Trump berkata, di bawah perjanjian berkenana, Hamas akan membebaskan semua tebusan, manakala tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui susulan rundingan di Mesir.

Ahmad Zahid berkata, beliau menghargai persetujuan dalam 20 perkara pelan gencatan senjata itu yang dinyatakan oleh Hamas dan yakin beberapa penelitian akan dilakukan bagi memastikan kepentingan rakyat Palestin.

“Namun yang paling penting adalah perang, penindasan, kebuluran dan kematian yang disebabkan oleh pelbagai penyakit akibat peperangan mesti dihentikan.

“Yang penting, Gaza dan Palestin mesti diselamatkan dan diutamakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×