PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melihat kemungkinan menutup sekolah ekoran kira-kira 6,000 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan dijangkiti virus influenza.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkifly Ahmad berkata, pihaknya akan berbincangan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek keperluan untuk berbuat demikian jika kes terus melonjak.
Katanya, kuasa penutupan itu di bawah KPM, dan pihak KKM bertanggungjawab memberikan pandangan dan panduan.
“Hal penutupan adalah (kuasa) KPM. Kami memberikan bimbingan kalau yang bergejala, jangan datang ke sekolah. Dan untuk melindungi diri, pakailah pelitup muka, amalkan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penggunaan sanitizer dan mencuci tangan.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Pendidikan untuk menentukan sama ada tindakan-tindakan selanjutnya diperlukan,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, KPM sentiasa berhubung rapat dengan KKM bagi memantau perkembangan berkenaan kes tersebut dan akur sekiranya mana-mana sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah sebenar sekolah yang terlibat dengan penutupan akibat jangkitan berkenaan.
“Kita minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan untuk bersiap sedia kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 3 November nanti.
“(Setakat ini) kira-kira 6,000 pelajar dikenal pasti berhadapan dengan jangkitan influenza. Namun kes itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah di beberapa negeri,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Beliau turut mengingatkan semua institusi pendidikan merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit dan melaporkan terus kepada pejabat kesihatan.
Malah pelajar dan warga sekolah digalakkan menggunakan pelitup muka, selain mengurangkan aktiviti yang melibatkan murid-murid untuk berinteraksi secara ramai.
Sementara itu. Dr. Dzulkifly memberitahu, majoriti kluster influenza dilaporkan berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah dan tadika.
Katanya, kadar konsultasi penyakit berkaitan influeza (ILI)meningkat kepada 7.38 peratus pada berbanding 5.95 peratus sebelumnya.
Manakala kadar kemasukan kes jangkitan saluran pernafasan akut teruk (SARI) menurun sedikit kepada 9.08 peratus berbanding 9.59 peratus minggu sebelumnya.
Dr. Dzulkifly turut memaklumkan bahawa sebanyak 116 wabak dilaporkan secara keseluruhan bagi minggu berkenaan, menunjukkan peningkatan dalam aktiviti penularan influenza dalam komuniti.
Berdasarkan pemantauan makmal, kadar positiviti influenza meningkat kepada 20.1 peratus berbanding 15.64 peratus sebelumnya, manakala kadar positiviti SARS-CoV-2 kekal rendah pada 0.98 peratus berbanding 0.91 peratus minggu sebelumnya.
“Strain utama yang dikesan ialah Influenza A (H3) bermusim sebanyak 17.5 peratus, diikuti A(H1N1) sebanyak 1.4 peratus, Influenza B 1.2 peratus dan SARS-CoV-2 1.0 peratus. Tiada mutasi baharu dikesan setakat ini,” katanya. – UTUSAN










