Ratusan askar diserang influenza di pangkalan tentera udara AS - Utusan Malaysia

Ratusan askar diserang influenza di pangkalan tentera udara AS

SEORANG askar AS mendapat vaksin di Fort Knox. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Lebih 150 anggota tentera di Pangkalan Tentera Udara Lackland, Texas telah dijangkiti influenza sepanjang tiga minggu yang lalu.

Mereka  jatuh sakit akibat influenza sejak Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, membatalkan mandat vaksin.

“Dalam tempoh tiga minggu lalu, Sayap Latihan ke-37, dengan kerjasama Sayap Perubatan ke-59, menguruskan wabak influenza setempat dalam kalangan pelatih di Latihan Asas Ketenteraan,” kata jurucakap Tentera Udara AS dalam kenyataan kelmarin kepada CBS News.

Akhbar The New York Times pertama kali melaporkan mengenai wabak di unit latihan tersebut di Texas.

Jurucakap Tentera Udara berkata, unit berkenaan melaksanakan langkah mitigasi untuk mengasingkan dan merawat pe­latih yang bergejala, selain memantau mereka yang mungkin terdedah kepada jangkitan.

Pelatih yang menunjukkan simptom turut diberikan ubat antiviral seperti Tamiflu.

April lalu, Hegseth mengeluarkan memo membatalkan mandat vaksin yang berkuat kuasa selama beberapa dekad dan dalam video disertakan, beliau mendakwa Pentagon sedang memanfaatkan tempoh itu untuk menyingkirkan sebarang mandat tidak masuk akal dan melemahkan keupayaan perangnya.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, ketua jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata bahawa di bawah garis panduan baharu, Timbalan Setiausaha Pertahanan memberikan pengecualian kepada dasar tersebut. Dasar itu diberikan kepada  abatan Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, Agensi Keselamatan Negara (NSA) sedan Agensi Kesihatan Pertahanan (DHA), sekiranya terdapat ke­perluan untuk menjadikan vaksin tersebut sebagai mandatori.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko yang menyeluruh dan bertujuan untuk memaksimumkan kesiapsiagaan operasi, keupayaan tempur, serta pembentukan kekuatan, sambil melindungi golongan berisiko tinggi. Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, NSA dan DHA bertanggungjawab melaksanakan pengecuali­an ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN