PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawahnya di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 ditutup bermula esok.
Arahan itu dikeluarkan susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang semakin buruk di negara ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, keputusan itu diambil bagi melindungi murid dan warga pendidikan daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula esok, 9 Oktober.
“Bagi kawasaan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut hendaklah ditutup bermula pada Isnin, 12 Oktober.
“Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PDPR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, dalam tempoh pelaksanaan itu, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan,” katanya.
Beliau juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras ditetapkan.
“KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menitahkan supaya sekolah di kawasan-kawasan yang terjejas akibat jerebu ditutup bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin.
Keprihatinan itu susulan tahap IPU yang secara berpanjangan mencatatkan bacaan di antara 150 hingga 180 sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga prihatin terhadap isu keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah dan baginda menitahkan supaya kedua-dua aspek itu diberi keutamaan.
Baginda juga bertitah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah baginda. – UTUSAN











