KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) Irfan Bakti Abu Salim masih berharap sedikit ruang untuk mengikat beberapa pemain baharu, termasuk import demi mempertingkatkan keupayaan pasukan bagi mengharungi Liga Super musim ini.
Beliau bagaimanapun menekankan bahawa segala masalah berkait sekatan perpindahan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas KRW FC perlu dirujuk kepada pihak pengurusan kelab.
Menurutnya, beliau dimaklumkan, sehingga kini pihak pengurusan KRW FC masih berusaha menyelesaikan isu berkenaan kerana tunggakan gaji pemain perlu dilangsaikan sepenuhnya.
“Kena tunggu pengurusan kelab jugalah sebab ia melibatkan nilai besar RM1.8 juta. Saya dimaklumkan mereka masih berusaha kerana ia perlu dilangsaikan sepenuhnya dan akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kalau dapat ikat dua atau tiga pemain yang kita uji pada perlawanan persahabatan menentang Pattani FC baru-baru ini pun sudah cukup untuk meningkatkan keupayaan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beliau berkata, masalah kekurangan pemain berkualiti cukup menggusarkan, lebih-lebih lagi KRW terpaksa menentang DPMM FC di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 27 November ini tanpa Emmanuel Mbarga dan Philip Dandada Musa berikutan masalah teknikal termasuk kelulusan visa.
Katanya, DPMM FC menjadi ancaman kuat apabila menunjukkan peningkatan signifikan berbanding musim lalu serta konsisten mencipta kemenangan untuk menghuni kedudukan keempat carta Liga Super musim ini.
“Baru pagi tadi saya berhubung dengan Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain susulan kekalahan pasukannya 2-1 kepada DPMM FC dan beliau mengakui pasukan dari Brunei itu lebih baik berbanding musim lalu.
“Jadi saya terpaksa fikir bagaimana mahu berusaha menentang DPMM FC dengan pemain yang ada. Sebab itu kalua dapat ‘clearance’ untuk ikat dua pemain baharu pun sudah cukup melegakan saya,” ujarnya.
Pada 28 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA dalam kalangan negara ASEAN dengan KRW FC merekodkan jumlah tertinggi dengan sembilan daripada 33 kes melibatkan 11 kelab tempatan.
Sekatan ke atas KRW FC dilaporkan berkaitan tuntutan tunggakan gaji membabitkan Kelantan FC kerana didakwa mempunyai kaitan entiti meskipun sudah tidak beraksi dalam Liga Malaysia.
Situasi berkenaan memberi kesan kepada KRW FC apabila sekatan berkenaan menghalang mereka daripada mendaftarkan pemain baharu untuk memperkukuhkan skuad bagi mengharungi Liga Super musim ini. – UTUSAN










