PETALING JAYA: Kuasa mengenakan hukuman rotan kepada murid perlu diperluaskan kepada semua guru dan tidak lagi terhad kepada guru disiplin atau guru besar.
Langkah itu bagi mengembalikan kewibawaan pendidik dalam menangani masalah salah laku serta membentuk sahsiah pelajar.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan tanggungjawab mendidik dan membentuk disiplin murid tidak hanya dipikul oleh guru tertentu sebaliknya menjadi tanggungjawab seluruh warga pendidik.
“Saya percaya kuasa merotan perlu dikembalikan kepada semua guru, bukan hanya terhad kepada guru besar dan guru disiplin. Ia juga perlu seimbang dikenakan terhadap pelajar lelaki dan perempuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kuasa guru disiplin di sekolah perlu dikembalikan bagi membolehkan isu salah laku pelajar ditangani dengan lebih berkesan sekali gus mengelakkannya daripada berlarutan menjadi kesalahan lebih serius.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin dilaporkan berkata, tugas mendisiplinkan pelajar kini semakin mencabar berikutan keterbatasan kuasa guru disiplin termasuk dalam pelaksanaan hukuman rotan.
Bagaimanapun, menurut Mohamad Ali, pelaksanaan hukuman rotan perlu tertakluk kepada garis panduan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa selain memastikan tindakan disiplin tidak bercanggah dengan aspek kemanusiaan dan kebajikan murid.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperincikan prosedur pelaksanaan hukuman rotan termasuk menjelaskan batasan terhadap murid perempuan supaya tidak timbul kekeliruan atau salah tafsir dalam kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat.
“Perkara ini perlu dijelaskan dengan baik supaya semua pihak memahami mengapa terdapat batasan tertentu dalam pelaksanaan hukuman rotan.
“Kita perlu mengambil kira aspek kemanusiaan, menjaga hak wanita serta memastikan keseimbangan antara tindakan disiplin dengan maruah dan kebajikan murid.
“Guru juga perlu diberikan kefahaman mengenai garis panduan itu, bukan sekadar dimaklumkan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya lagi.-UTUSAN.











