Titah Adendum: Najib gagal masuk bukti baharu, AGC gagal dapat larangan bersuara

Titah Adendum: Najib gagal masuk bukti tambahan, AGC gagal dapat larangan bersuara

NAJIB Tun Razak ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk memasukkan bukti tambahan dalam permohonan semakan kehakiman berhubung kesahihan Titah Adendum yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan itu selepas berpendapat permohonan untuk meminda afidavit bagi memasukkan bukti baharu itu bukan sekadar mengemaskini fakta, sebaliknya memperkenalkan punca tindakan baharu.

Bukti itu termasuk surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Surat itu ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

“Saya tidak melihat kaitan di antara dakwaan kekurangan keterbukaan semasa permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dengan relif yang akhirnya dipohon. Akan berlaku ketidakadilan terhadap responden kerana sekiranya pindaan ini dibenarkan, responden terpaksa menjawab perkara yang bukan menjadi isu di hadapan mahkamah ini.

“Sekiranya pindaan ini dibenarkan, ia bermaksud pemohon memperkenalkan satu punca tindakan baharu yang substantif,” kata hakim itu.

Dalam prosiding sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal untuk mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung prosiding itu.

Hakim Yee Ching menolak permohonan itu atas alasan, AGC tidak memenuhi keperluan undang-undang bagi menghalang sebarang perbincangan awam mengenai kes tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Yee Ching berkata permohonan AGC melibatkan dua perintah iaitu perintah larangan awal (preemptive gag order) dan perintah perlindungan (protection order) namun mahkamah mendapati ia terlalu luas serta tidak perlu.

“Setelah membuat pertimbangan, saya tidak melihat ada risiko sebenar terhadap keadilan perbicaraan jika perintah larangan tidak dikeluarkan. Saya mendapati terdapat langkah alternatif lain yang boleh digunakan seperti undang-undang fitnah dan penghinaan mahkamah.

“Saya juga telah meneliti terma perintah larangan tersebut dan mendapati ia terlalu luas. Secara keseluruhannya, saya tidak melihat perintah itu perlu. Atas alasan-alasan tersebut, saya tidak berhasrat untuk membenarkan kedua-dua perintah yang dipohon. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, media melaporkan, Najib memohon untuk meminda pernyataan dengan memasukkan bukti tambahan dalam permohonan semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Permohonan perintah larangan itu difailkan AGC pada 20 Januari 2025 atas alasan melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif 3R iaitu raja, agama dan kaum.

Kes itu dikendalikan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN