KUALA LUMPUR: Kerajaan masih gagal menyediakan skim pembiayaan kesihatan baharu selepas lebih 40 tahun menggunakan mekanisme lama sekaligus menjejaskan rakyat untuk mendapat akses perkhidmatan lebih baik.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, kegagalan tersebut berpunca daripada peranan Kementerian Kesihatan yang terlalu besar, isu kepercayaan rakyat dan ketiadaan keberanian politik.
“Pertama, Kementerian Kesihatan memegang terlalu banyak peranan iaitu sebagai pengawal selia, penyedia perkhidmatan dan pembeli strategik yang sekali gus tidak dapat bertindak secara bebas.
“Kedua, setiap kali idea baharu dikemukakan, ia hanya hasil ‘analisis desktop’ tanpa libat urus dengan pihak yang akan terkesan seperti jururawat, pemandu ambulans dan pegawai perubatan sendiri. Ini menyebabkan rakyat kurang percaya dan sering bertanya, apa agenda tersembunyi di sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum Sidang Kemuncak Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2025 yang mengupas isu Merevolusikan Pembiayaan Penjagaan Kesihatan: Modal Swasta, Insurans dan Reformasi Kerajaan di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, ketiadaan keazaman politik serta ruang fiskal yang terhad turut merupakan antara punca kelewatan skim pembiayaan kesihatan baharu.
“Kegagalan meningkatkan caj rawatan asas di hospital kerajaan sejak zaman Barisan Nasional (BN) memegang majoriti dua pertiga membuktikan isu tersebut sudah berlarutan.
“Bayangkan, caj jumpa doktor hanya RM1 dan doktor pakar RM5, sedangkan bayaran letak kereta lebih tinggi. Jika masa itu pun gagal diubah, sukar untuk dilaksanakan dalam keadaan politik sekarang. Persoalannya, Perdana Menteri mana yang berani buat keputusan betul walaupun tidak popular?” katanya.
Beliau berkata, sejak tahun 1980, pelbagai model termasuk insurans sosial dan simpanan perubatan telah dikaji namun semuanya hanya berakhir di atas kertas.
“Yang untung hanyalah perunding. Bayangkan kadar caj doktor am (GP) masih kekal sama selama 33 tahun, walaupun ia tidak melibatkan sebarang dana berasaskan cukai. Jadi saya tidak hairan mengapa skim baharu ini tidak bergerak,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Thirunavukarasu mengakui kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai isu melalui Kertas Putih Kesihatan yang merangkumi aspek perkhidmatan, pencegahan, pembiayaan dan tadbir urus serta diluluskan secara dwipartisan di Parlimen.
“Tetapi apa yang lebih penting ialah pelaksanaan sebenar dengan ketelusan, tadbir urus baik dan keberanian politik untuk mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kitaran politik,” tegasnya. – UTUSAN








