KUALA LUMPUR: Tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh kerajaan sebagai perantara atau wakil untuk menguruskan proses permohonan kewarganegaraan di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, segala urusan permohonan kewarganegaraan dikendalikan melalui saluran rasmi kerajaan dan tidak melibatkan pelantikan mana-mana pertubuhan sebagai wakil kementerian.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri dan Premier Sarawak sebelum ini telah bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di negeri itu atas permintaan kerajaan negeri.
“Jawatankuasa berkenaan merupakan mekanisme kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses serta pengesahan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sahaja.
“Memandangkan permohonan kewarganegaraan untuk negeri ini agak tinggi khususnya di Sarawak, pendekatan ini tidak melibatkan sebarang kerjasama dengan pihak agensi ataupun NGO.
“Kita tidak melantik mana-mana NGO untuk mengurus proses kewarganegaraan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berhubung cadangan mewujudkan mekanisme khas di Perlis dengan kerjasama agensi kerajaan dan NGO bagi mempercepatkan urusan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan termasuk mereka yang berpendidikan tinggi.
Shamsul Anuar berkata, KDN bersedia membantu sekiranya terdapat isu berkaitan kewarganegaraan seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Besar itu.
Katanya, segala urusan kewarganegaraan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Walau bagaimanapun, jika ada isu yang dibangkitkan tadi, kita boleh bantu dan kemukakan kepada kementerian.
“Kita akan cari jalan memudahkan dan jika ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, Insya-Allah ia tidak akan ada masalah,” katanya. – UTUSAN











