KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan menambah 11 lagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi mempercepat tindakan kecemasan khususnya di kawasan yang berada di luar liputan balai bomba sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JBPM negeri, Nor Mahathir Muhamad berkata, penambahan itu diperlukan bagi memastikan keseluruhan kawasan berisiko dapat diliput sekali gus membantu mempercepat masa tindak balas jabatan ketika berdepan kejadian kecemasan.
Katanya, Terengganu ketika ini mempunyai 12 pasukan PBS dan memerlukan tambahan 11 pasukan lagi menjadikan keseluruhan 23 pasukan seperti yang dikenal pasti menerusi analisis data serta Pelan Tindakan Strategik JBPM Terengganu 2026–2030.
“Kita perlukan 11 lagi pasukan PBS untuk meliputi kawasan yang tidak dapat dicapai oleh balai bomba dalam tempoh masa ditetapkan. PBS akan digerakkan untuk memberikan tindak balas awal sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian. Kerjasama erat ini mampu mempercepatkan tindakan JBPM Terengganu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Suku Keempat JBPM Terengganu di sini.
Mengulas persiapan menghadapi MTL yang bermula 27 Oktober lalu hingga Mac 2027, Nor Mahathir berkata, negeri ini dijangka berdepan antara tiga hingga lima gelombang hujan lebat dengan pemantauan tertumpu di 460 kawasan titik panas di seluruh negeri.
Katanya, Kuala Terengganu merekodkan jumlah hotspot tertinggi iaitu 97 lokasi, diikuti Dungun (72) dan Hulu Terengganu (63).
“Semua lokasi berkenaan sudah dimasukkan dalam pelan pra-insiden balai bomba daerah bagi membolehkan tindakan awal dirancang sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan. Antara perkara paling dibimbangi ialah kejadian tanah runtuh kerana kita tidak dapat menjangkakan kawasan yang akan terjejas akibat hujan lebat berterusan,” katanya. – UTUSAN











