PETALING JAYA: Kerajaan disaran supaya menyalurkan subsidi petrol RON95 secara pemindahan tunai terus kepada rakyat berbanding penggunaan sistem MyKad di stesen minyak.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kaedah pemindahan tunai lebih berkesan dan mesra rakyat kerana tidak bergantung kepada sistem teknikal yang berisiko menghadapi gangguan seperti yang berlaku bagi pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.
“Saya sudah lama menyuarakan kebimbangan jika bantuan menggunakan IC (kad pengenalan) untuk tebus di kaunter. Operasi di lapangan memang rumit dan terdedah kepada masalah teknikal.
“Seperti yang dilaporkan, sistem terminal pembayaran MyKasih jadi perlahan kerana lonjakan transaksi. Sebab itu saya berpandangan lebih baik pindahan tunai terus melalui PADU kerana ia lebih mampan, mudah dan kurang terdedah kepada masalah,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Rafizi berkata, perkara paling penting ialah memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar tanpa membebankan rakyat dengan proses tambahan.
Pada 1 September lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan sistem terminal pembayaran bagi pengagihan bantuan Sara melalui rangkaian MyKasih mengalami kelembapan ketara di pelbagai lokasi ekoran peningkatan jumlah transaksi.
Bantuan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jumlah dikreditkan ke dalam MyKad lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas. – UTUSAN










