Penjimatan subsidi boleh cecah RM4 bilion setahun

Penjimatan subsidi boleh cecah RM4 bilion setahun

AMIR Hamzah Azizan ketika meninjau projek menaik taraf jeti nelayan sempena Sesi Libat Urus Kampung Angkat MADANI di Jeti Nelayan Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Negara mengalami penjimatan mencecah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun ekoran pelaksanaan subsidi bahan api.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, namun jumlah itu bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang ditentukan di pasaran antarabangsa.

“Jika harga minyak dunia sekitar AS$75 setong, penjimatan subsidi boleh mencecah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan. Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut Amir Hamzah, harga petrol RON95 di Malaysia yang ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter selepas subsidi kekal antara yang terendah di dunia dan rantau ini.

Katanya, kedudukan harga tersebut membuktikan kerajaan terus mengekalkan keutamaan dalam menjaga kepentingan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada bahan api untuk urusan harian.

“Jika kita lihat, harga petrol bersubsidi ini pada RM1.99 tetap menempatkan Malaysia dalam kelompok negara yang menawarkan bahan api paling murah di dunia.

“Malah, apabila harga pasaran diapungkan, kita masih lagi kekal antara negara dengan harga terendah di rantau ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, harga RON95 bersubsidi tidak boleh diturunkan lebih rendah daripada RM1.99 seliter sekiranya harga minyak dunia turun memandangkan harga itu kekal sebagai harga subsidi.

“Harga RM1.99 ialah harga bersubsidi. Ia tidak akan diturunkan lagi walaupun harga minyak dunia jatuh. Yang berubah hanyalah harga pasaran semasa, bukan harga bersubsidi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 tidak memerlukan sebarang sistem baharu memandangkan tiada keperluan untuk memperkenalkan kad khas RON95 kerana MyKad itu sendiri adalah kunci kepada kelayakan subsidi.

“Kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri utama. Kita percaya sistem sedia ada cukup selamat dan praktikal untuk dilaksanakan tanpa menambah beban rakyat.

“STR sebelum ini telah membuktikan keberkesanan penggunaan MyKad apabila bantuan berjaya disalurkan kepada lebih sembilan juta rakyat Malaysia,” katanya yang mahu mahu rakyat bangga memiliki MyKad kerana selain menjadi dokumen pengenalan diri, ia juga menjadi bukti bahawa hanya rakyat Malaysia layak menikmati subsidi ini.

Beliau berkata, sistem teknologi maklumat kerajaan turut mempunyai kawalan keselamatan tinggi bagi memastikan data rakyat sentiasa terpelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×