KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh asas ekonomi negara melalui agenda reformasi bagi memastikan pertumbuhan berdaya tahan dalam situasi dunia yang tidak menentu ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, agenda reformasi penting dalam mendepani cabaran yang sedang dihadapi dunia ketika ini termasuk mengenai rantaian bekalan yang memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Beliau berkata, sejarah menunjukkan krisis mampu menjadi pemangkin perubahan besar dengan lonjakan harga minyak pada skala besar seperti yang pernah berlaku pada 1973 hinga 1974 yang membuktikan bagaimana faktor luaran boleh mengubah landskap ekonomi dunia secara drastik.
Jelasnya, Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih bersedia dan tangkas dalam mendepani cabaran ekonomi tersebut.
“Dalam menghadapi krisis, negara perlu melihatnya sebagai peluang untuk bertindak dan memperkukuh kedudukan ekonomi.
“Kita perlu menggunakan krisis ini untuk melakukan pembaharuan dan meletakkan Malaysia pada landasan yang lebih kukuh. Apa yang penting ialah membina asas yang betul supaya kita mampu berdepan cabaran global dengan lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 bertajuk ‘Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global’.
Forum itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai moderator dan dua panel lain iaitu Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Ekonomi World Bank Malaysia, Dr Apurva Sanghi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai reformasi sepanjang pentadbirannya bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara yang sebelum ini berdepan tekanan tinggi.
Katanya, langkah mengurangkan defisit fiskal menjadi keutamaan ketika ini kerana ia memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurus ekonomi dengan lebih berkesan.
Selain itu, jelasnya, ia akan dapat mengurangkan beban hutang dan meningkatkan kemampanan jangka panjang.
“Reformasi subsidi bukan sesuatu yang mudah kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat, namun kita berjaya melaksanakannya secara terkawal dengan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha merangsang pertumbuhan dengan menggerakkan aliran modal membabitkan sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan dan pelabur asing.
“Pendekatan itu penting bagi memperkukuh pasaran swasta, merangsang keusahawanan serta membuka peluang kepada syarikat tempatan berkembang, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi cabaran global,” katanya.-UTUSAN










