PARLIMEN: KPDN kaji sekat kad kredit asing beli RON95

PARLIMEN: KPDN kaji sekat kad kredit asing beli RON95

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme untuk menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian petrol RON95 di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia bertujuan memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati oleh rakyat yang layak. 

Katanya, KPDN akan mewujudkan peraturan baharu yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing.

“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing. 

“Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa bermula pada 1 April 2026,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Armizan berkata, pemeriksaan di bawah Ops Samar iaitu pemantauan tanpa pakaian seragam juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan.

“Kementerian sememangnya memandang serius dakwaan wujud unsur ugutan atau pemerasan ke atas pengusaha stesen minyak menggunakan rakaman video. 

“Tindakan sedemikian adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan peruntukan penguatkuasaan untuk tujuan ugutan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN