Juruwang Bangladesh ditahan kes salah guna subsidi RON95

Juruwang Bangladesh ditahan kes salah guna subsidi RON95

SUSPEK warga Banglades (dua kanan) dibawa untuk proses reman di Mahkamah Sik, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang juruwang sebuah stesen minyak warga Bangladesh berusia 34 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes salah guna subsidi petrol RON95 milik seorang peniaga di Kupang, Baling, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 57 tahun berhubung kehilangan kuota subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) miliknya.

Katanya, pengadu mendakwa menyedari perkara itu ketika berada di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam pada 4.48 petang, 8 April lalu sebelum membuat semakan melalui aplikasi BUDI95.

“Hasil semakan mendapati terdapat transaksi pengisian minyak subsidi RON95 menggunakan nombor kad pengenalannya di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang.

“Siasatan mendapati bermula 18 Mac hingga 8 April lalu, sebanyak enam transaksi pengisian minyak menggunakan nombor kad pengenalan pengadu direkodkan membabitkan 309.038 liter minyak dengan anggaran kerugian RM1,242.33,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat penglibatan individu warga tempatan yang masih diburu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Suspek warga Bangladesh di bawa ke Mahkamah Sik, hari ini untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan dia direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa melalui talian MERS 999 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN