PONTIAN: Rakyat negara ini mula menikmati harga petrol terendah di rantau ASEAN apabila RON95 kini dijual pada RM1.99 seliter selepas subsidi diumumkan kerajaan bermula kelmarin.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, harga di negara ini jauh lebih rendah berbanding negara jiran, termasuk Arab Saudi (RM2.61 seliter), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).
Menurut beliau, subsidi ini adalah bukti kerajaan MADANI menepati janji untuk meringankan beban rakyat termasuk minyak petrol RON95 bagi kegunaan warga negara Malaysia.
“Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana semua golongan mendapat manfaat tanpa mengira pendapatan. Hanya bukan warga negara dan syarikat besar tidak layak menerima Budi Madani RON95 (R0N95)
“Ini menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tunaikan janji, telah lama rakyat menunggu dan akhirnya janji ini dapat ditunaikan,” katanya ditemui selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Naga, Api-Api, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perincian pelaksanaan subsidi akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
BUDI95 adalah inisiatif subsidi petrol RON95 bersasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia dan inisiaitif itu akan bermula pada 30 September, manakala semakan status boleh dibuat bermula 25 September 2025.
Status terkini dan baki kuota 300 liter yang diperuntukkan bagi setiap pemegang MyKad juga boleh disemak melalui aplikasi stesen minyak seperti Setel, CaltexGo, Petron, dan e-dompet seperti Touch ‘n Go eWallet. – UTUSAN










