Ketulenan tayar seludup diuji - Azam Baki

Ketulenan tayar seludup diuji – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan tayar dikesan membawa masuk tayar yang tidak diikrar bersama barangan yang dimport.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga kini sedang menjalankan ujian bagi mengesan ketulenan produk tayar yang dibawa masuk.

Kata beliau, modus operandi sindiket mengimport tayar tersebut ialah memasukkan tayar-tayar yang tidak diikrarkan ketika mengimport selain terdapat dokumen yang dipalsukan, maknanya ia tidak menunjukkan jumlah sebenar atau mungkin jenama sebenar.

“Selain itu, beberapa tindakan juga sedang dijalankan di mana SPRM akan meminta pihak tertentu untuk membuat ‘test purchase’ untuk memastikan ketulenan kerana kita mengesyaki kebanyakan yang diimport ini kemungkinan daripada sebuah negara yang tidak boleh dinyatakan,” katanya selepas program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) hari ini.

Azam berkata, pihaknya turut mengesahkan menerima aduan rasmi daripada sebuah syarikat pengeluar tayar dari Itali berhubung dakwaan kegiatan penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import-eksport ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, aduan itu menjadi asas kepada siasatan awal yang dijalankan bersama Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF)

“Setakat ini kita sudah merakam tujuh percakapan. Namun, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana siasatan dijalankan mengikut prosedur biasa terlebih dahulu.

“Siasatan merangkumi aspek pemalsuan dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), penipuan ikrar, ketulenan tayar yang diimport dan juga implikasi cukai,” jelasnya.

Semalam, SPRM membongkar kegiatan sindiket penyeludupan tayar menerusi serbuan Ops Grip di 23 lokasi berasingan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

SPRM turut membekukan sejumlah akaun persendirian serta syarikat bernilai RM70 juta yang turut disyaki terbabit kegiatan kegiatan pemalsuan dokumen import dan eksport mengakibatkan kerugian cukai mencecah RM350 juta kepada negara sejak tahun 2020.

Serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Operasi membabitkan 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor membabitkan syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN