Jadikan rukun negara kelima panduan perhimpunan aman

Jadikan rukun negara kelima panduan perhimpunan aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Orang ramai yang menyertai perhimpunan aman Justice For Zara (JFZ) diseru mengekalkan disiplin dengan menghayati prinsip Rukunegara Kelima – Kesopanan dan Kesusilaan – bagi memastikan tuntutan keadilan terus berlangsung dalam suasana harmoni.

Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, setakat ini semua siri perhimpunan JFZ berjalan dengan aman dan memuji komitmen penganjur yang berjaya memastikan peserta berkelakuan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Dasar kerajaan hari ini membenarkan perhimpunan awam tanpa permit, jadi kita harus menggunakan peluang ini dengan menunjukkan kebersamaan dalam menuntut keadilan yang diharap dapat ditegakkan.

“Semangat kekitaan yang ditunjukkan dalam siri perhimpunan aman JFZ wajar dipertahankan dengan momentum positif tanpa sebarang kekacauan atau tindakan provokatif yang boleh mengganggu gugat ketenteraman negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Merdeka Kampung Budaya Pasir Putih anjuran Pertubuhan Komuniti Kampung Budaya Pasir Putih Tawau (Penggiat) dengan kerjasama Pejabat Penerangan Tawau, di Kampung Budaya Pasir Putih, di sini, pada Ahad.

Ahli Parlimen Kalabakan itu turut berharap semangat kekitaan yang ditunjukkan dalam siri perhimpunan aman JFZ itu wajar dikekalkan dan menjadikan kekacauan yang berlaku di negara Indonesia sebagai iktibar bersama.

“Melihat kepada situasi di negara jiran, kita terkejut dengan apa yang berlaku. Mudah-mudahan penyelesaian aman dapat dicapai segera dan insiden serupa tidak merebak ke negara kita.

“Sebagai negara berjiran, sudah tentu kita turut merasai kesan daripada kejadian itu. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dengan nikmat keamanan yang dinikmati di tanah air,” katanya.

Beliau turut suarakan kebimbangan terhadap fenomena penganjuran perhimpunan aman JFZ yang semakin rancak di seluruh negara, dan berharap pihak berwajib segera tangani isu berkenaan dengan bijaksana.

Katanya, penglibatan aktif kerajaan diyakini mampu meneutralkan keadaan sekaligus mengelakkan perhimpunan aman menjadi kebiasaan baharu dalam masyarakat.

“Kita percaya, selaras dengan desakan yang dibuat, kerajaan dan pihak berwajib sedang berusaha menangani isu berbangkit, termasuk melalui siasatan, yang diharap dapat diselesaikan dengan baik.

“Kita juga berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pihak tertentu yang cuba memancing emosi hingga mencetuskan reaksi agresif dan mengancam kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau turut berharap orang ramai tidak menunggang solidariti rakyat terhadap JFZ dengan menimbulkan kekacauan atau merosakkan harta benda awam.

“Kita memuji komitmen semua penganjur perhimpunan aman di seluruh negara yang setakat ini berjaya memastikan peserta mereka berkelakuan baik atas semangat solidariti menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina Mahathir,” katanya.

Terdahulu, kez Zara Qairina Mahathir, 13, mula mendapat perhatian selepas remaja berkenaan dilaporkan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.

Prosiding inkues kematiannya kini sedang berjalan bermula semalam dan hari ini, kemudian akan disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN