Buang sikap etnosentrik untuk hubungan baik dengan Melayu

Buang sikap etnosentrik untuk hubungan baik dengan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TITAH Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda Ke-17 mengenai tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 bukan sahaja tepat pada waktunya, malah merupakan amaran jelas agar rakyat sentiasa menyedari bahaya yang boleh timbul apabila hubungan antara kaum tidak dipelihara dengan baik.

Titah itu bukan lagi sekadar peringatan, tetapi amanat yang wajib dipatuhi kerana hubungan Melayu-Cina sejak zaman penjajahan sentiasa berdepan cabaran dan konflik.

Keadaan ini menjadi semakin meruncing kebelakangan ini apabila berlaku pelbagai insiden yang menyentuh sensitiviti kaum.

Tragedi 13 Mei 1969 menjadi pengajaran yang tindakan melampau, provokasi dan penghinaan terhadap kaum lain boleh mengundang ketegangan serta menggugat kestabilan negara. Oleh itu, budaya saling menghormati mesti terus diperkukuh demi memelihara perpaduan nasional.

Namun, mesej tersirat dalam titah tersebut mungkin tidak difahami sepenuhnya oleh semua pihak. Oleh itu, ia wajar diperjelaskan agar dapat dihayati dan dijadikan iktibar bersama.

Antara pemangkin sejarah hitam itu ialah Pilihan Raya Umum (PRU) pada 10 Mei 1969 yang terus dimenangi parti politik kerajaan. Walaupun begitu, kedudukan parti politik pembangkang melonjak naik dengan prestasi yang sangat memberangsangkan.

Pada 11 dan 12 Mei tahun yang sama, pembangkang meraikan prestasi cemerlang mereka menerusi beberapa perarakan di sekitar Kuala Lumpur, termasuk yang diadakan tanpa permit.

Perarakan itu bukan sahaja berskala besar tetapi penuh dengan tindakan kekasaran yang sangat biadap sifatnya.

Semasa melalui beberapa kawasan penempatan Melayu di Kuala Lumpur, terdapat peserta perarakan yang dilaporkan mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi dan penghinaan.

Antaranya menghalau mereka daripada negara ini yang merupakan tanah watan mereka, di samping yang mengancam etnik Melayu.

Ketegangan yang tercetus akhirnya membawa kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang mengorbankan nyawa serta menyebabkan kemusnahan harta benda di beberapa bahagian Kuala Lumpur.

Pada 14 Mei, pertempuran antara etnik Melayu dan Cina terus berlaku di beberapa kawasan Kuala Lumpur. Bukan sahaja nyawa terkorban tetapi memusnahkan harta benda. Selepas beberapa hari, akhirnya keadaan dapat dipulihkan sepenuhnya, meskipun dalam suasana yang masih tegang pada 20 Mei.

Pada 14 Mei, seluruh negara diisytiharkan darurat. Ini dilakukan untuk menjaga keselamatan awam selain mengekalkan pemerintahan negara. Dengan adanya darurat, Parlimen dan Perlembagaan digantung sehingga ia ditamatkan.

Pada 16 Mei, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Ia terdiri daripada tujuh ahli yang diberikan kuasa eksekutif untuk mentadbir negara ini. Ia dibubarkan pada 23 Februari 1971 dengan pembukaan sesi Parlimen baharu. Mageran beroperasi selama 20 bulan.

Selama tempoh ini, walaupun banyak punca dikaitkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei itu, namun Mageran mengakui terdapat defisit kepercayaan yang sangat mendalam antara etnik Melayu dengan Cina.

Oleh itu, kecurigaan antara dua etnik ini hendaklah dihemati, antaranya dari segi kesenjangan sosial, politik dan ekonomi.

Untuk ini, sebilangan agensi ditubuhkan untuk mencari penyelesaian kekal agar peristiwa berdarah itu tidak berulang lagi di negara ini. Antaranya ialah Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan pada 1970 yang berkembang menjadi Kementerian Perpaduan Negara pada masa ini.

Antara penyelesaian kekal itu adalah penyediaan ideologi negara yang dikenali sebagai Rukun Negara dilancarkan pada 31 Ogos 1970.

Dalam hal ini, Rukun Negara dihasratkan sebagai model asas untuk memupuk perpaduan negara yang erat lagi utuh. Rukun Negara terdiri dari lima prinsip untuk mencapai lima cita-cita negara.

Lima prinsip itu sebetulnya digubal khas untuk menjelaskan lima perkara penting bagi kedua-dua proses pembinaan negara dan pembentukan negara bangsa.

Untuk pembinaan negara, tujuannya ialah meningkatkan Malaysia agar terus demokratik, adil selain maju secara moden berorientasikan sains dan teknologi.

Manakala bagi pembentukan negara bangsa, yakni rakyat bersatu padu yang bergelar Bangsa Malaysia, kepelbagaian hendaklah bukan sahaja diraikan tetapi juga harus betul-betul dijadikan alat penyatupaduan semua etnisiti, budaya dan agama.

Untuk prinsip pertama Rukun Negara, walaupun Islam agama terpenting di negara ini, namun agama dan sistem kepercayaan lain tidak sesekali dihalang daripada dianuti. Dengan ini, langsung tidak wujud diskriminasi terhadap mana-mana rakyat dalam hal keagamaan di negara ini.

Bagi prinsip kedua, taat setia daripada setiap rakyat adalah bukan sahaja penting, juga dikehendaki. Ini agar rakyat patuh dan akur kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Manakala pada prinsip ketiga, menjadi tugas rakyat untuk menghormati dan menghayati perlembagaan negara ini. Ini kerana ia kewajipan yang harus ada pada setiap rakyat untuk mempertahan perundangan tertinggi Malaysia.

Prinsip keempat pula menekankan keadilan di negara ini ditegakkan oleh undang-undangnya. Dalam perkara ini, semua rakyat dilayan secara serupa dan tidak ada mana-mana pihak yang dikecualikan daripada kekuasaan undang-undang negara.

Prinsip terakhir menyeru semua pihak agar bijak bertindak supaya tidak sesekali menyinggung perasaan mana-mana pihak. Dengan ini, sensitiviti pihak lain hendaklah dipastikan tidak sesekali disentuh, apatah lagi digores.

Semasa Rukun Negara dilancarkan, semua pihak bukan sahaja menyokongnya dengan kuat. Juga berikrar bersedia mendukungnya dengan selalu merujuk, sama ada kepada mana-mana atau kesemua prinsip di dalamnya.

Hubungan etnik Melayu-Cina yang tidak baik menjadi punca berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969 itu, hendaklah kini mulai ditangani dengan seikhlas-ikhlasnya.

Ia tidak boleh lagi dikesampingkan seperti bukan pun merupakan masalah negara yang besar lagi utama. Apatah lagi yang sama sekali tidak wujud pun di negara ini.

Ini kerana hubungan itu masih merupakan penghalang terbesar kepada proses pembentukan negara bangsa. Antaranya untuk mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam erti kata yang sebenar-benar dalam semua perkara.

Dalam hal ini, sama ada hidup bersekali dengan penuh keharmonian atau sama-sama mendukung kuat setiap aspirasi nasional.

Untuk ini, etnik Cina sebagai kaum penghijrah yang sudah tentu merupakan minoriti di negara ini, hendaklah betul-betul membuang sikap etnosentrik Cina yang amat tebal.

Dengan ini, mereka hendaklah belajar dari sekarang, walaupun sepatutnya berlaku sekitar 70 tahun yang lalu, untuk berintegrasi sepenuhnya ke dalam struktur sosial etnik Melayu selaku majoriti di negara ini.

Sebetulnya apabila memilih untuk terus tinggal di negara ini sebagai warganegara bersama-sama dengan etnik Melayu sebagai penduduk asal lagi majoriti serta dominan, etnik Cina sudah tidak boleh lagi mempunyai sikap etnosentrik itu bahawa mereka paling superior.

Namun ia terus kekal dan menjadi-jadi pula. Dalam hal ini, etnik Cina bukan sahaja terus memandang rendah kepada sesiapa sahaja yang bukan Cina, malah penghinaan itu kian menghebat dan mendahsyat.

Hakikatnya, banyak persepsi negatif antara kaum berpunca daripada perbezaan pandangan hidup, nilai dan cara memahami realiti. Perbezaan inilah yang sering menimbulkan salah faham serta menjejaskan hubungan antara etnik.

Sepatutnya dalam hal ini, etnik Cina hendaklah mempunyai toleransi, malah yang tinggi, untuk memahami bagi menerima fiil etnik Melayu dengan seadanya. Ia hendaklah selari dengan budaya yang mereka amalkan dan ajaran Islam yang merupakan pedoman mereka.

Sesungguhnya petua keberadaan etnik Cina selanjutnya di negara ini adalah dengan mengikuti resam peribahasa Melayu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Dengan ini, mereka hendaklah bukan sahaja belajar menghormati adat, adab, amalan dan peraturan setempat. Juga belajar untuk tidak sesekali menghina etnik Melayu dalam kesemua hal ini dan juga yang lain-lain.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN