Tras sasar pembeli pertama, segmen kurang dapat pembiayaan

Tras sasar pembeli pertama, segmen kurang mendapat perkhidmatan pembiayaan

KAZRIN KHAIRUL ANUAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: EON Capital Sdn Bhd (Tras) memperluas akses pembiayaan kenderaan kepada pembeli kali pertama serta segmen pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan menerusi platform digitalnya, susulan peningkatan permintaan terhadap proses permohonan pembiayaan yang lebih mudah dan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kazrin Khairul Anuar berkata, syarikat dalam Kumpulan DRB-HICOM Berhad itu kini memproses hampir 2,000 permohonan sebulan, dengan kira-kira 90 peratus daripadanya datang menerusi pengedar.

Katanya, permohonan bagi platform itu terus meningkat dari masa ke semasa sejak dilancarkan 9 September 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, Tras ketika ini bekerjasama dengan tiga bank rakan iaitu Bank Muamalat Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan AMMB Holdings Berhad (AmBank), bagi memudahkan pelanggan mengemukakan dokumen serta memilih bank untuk permohonan pembiayaan mereka.

“Kita mahu menyelesaikan masalah untuk memberikan ketenangan kepada pelanggan. Sesiapa yang ingin membeli kereta, kita berikan pilihan untuk mereka membuat permohonan pembiayaan sendiri.

“Mereka tidak perlu risau tentang keselamatan atau privasi data. Semua dokumen boleh dimasukkan ke platform kami dan mereka boleh memilih bank yang mereka mahu,” katanya ketika ditemui di pejabat Tras di Glenmarie, di sini baru-baru ini.

Kazrin berkata, EON merupakan rakan pengedar utama dan pertama Tras. Namun, permohonan pembiayaan menerusi Tras tidak terhad kepada jenama kenderaan di bawah EON, sebaliknya turut terbuka kepada kenderaan jenama lain.

Beliau berkata, selain pelanggan membuat permohonan sendiri, platform itu turut digunakan pengedar kereta, sekali gus membolehkan proses permohonan pembiayaan dilakukan dengan lebih pantas.

Katanya, lebih daripada 90 peratus permohonan pembiayaan ketika ini masih datang menerusi para pengedar kerana proses pembelian kenderaan lazimnya bermula secara fizikal di bilik pameran.

“Kereta ialah produk fizikal. Kebiasaannya pelanggan datang ke pengedar terlebih dahulu kerana mereka mahu melihat, mencuba dan memilih kenderaan sebelum membuat keputusan pembelian.

Oleh itu, Tras menyasarkan untuk memperluaskan permohonan terus dan saluran digital tahun depan selaras dengan perubahan tingkah laku pengguna yang kini lebih menitikberatkan kemampuan kewangan, membandingkan kadar pembiayaan serta mengambil kira kos pemilikan keseluruhan sebelum membeli kenderaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tras turut memperkenalkan ciri Semakan Kelayakan (EC), yang membolehkan pelanggan mendapatkan indikasi awal mengenai kelayakan pembiayaan berdasarkan maklumat pendapatan dan komitmen mereka.

“Selepas kereta ditempah, EC memberikan anggaran serta-merta melalui WhatsApp, lengkap dengan jumlah pembiayaan dan anggaran ansuran bulanan. Pelanggan hanya perlukan kad pengenalan, lesen memandu, e-mel dan nombor telefon dan semakan ini tidak menjejaskan skor kredit mereka. Buat masa ini, EC hanya tersedia untuk permohonan dari Bank Muamalat.

“Pelanggan hanya perlu memuat naik dokumen sokongan menerusi pautan selamat untuk proses semakan lanjut. Apabila semuanya disahkan, bank akan mengeluarkan tawaran rasmi berdasarkan kadar yang ditunjukkan pada peringkat EC. Pada masa yang sama, pelanggan masih bebas untuk membandingkan tawaran daripada bank-bank lain sebelum membuat keputusan” jelasnya

Jika pelanggan masih belum sedia untuk membuat tempahan kereta, Kazrin berkata, Tras juga mempunyai kemudahan CarCulator boleh menyemak dan membuat perbandingan antara senarai kereta yang dalam had kemampuannya, berdasarkan anggaran had pembiayaan individu tersebut. Proses ini dapat diselesaikan dalam masa kurang seminit

Katanya, lebih daripada 10,000 pengguna telah menggunakan CarCulator berkenaan sejak ia dilancarkan.

Dalam sembilan bulan pertama tahun 2026, jumlah pembiayaan yang disalurkan melalui platform Tras bernilai kira-kira RM290 juta dengan kerjasama rakan bank. 

“Kita melihat semakin ramai pemohon yang belum mempunyai sejarah kredit. Buat masa ini, Tras masih meneroka cara terbaik untuk memenuhi keperluan segmen pelanggan ini,” katanya.

Sementara itu, Kazrin berkata, Tras turut menyasarkan untuk memperluas operasi di luar Lembah Klang secara berperingkat, selain menjalankan projek perintis bersama pelanggan bukan EON.

Beliau berkata, Proton masih menjadi antara jenama yang paling banyak menerima permohonan, selain permohonan bagi pelbagai jenama lain.

Kazrin berkata, Tras kini mempunyai pasukan seramai 10 orang dan sedang meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik proses pemohonan kami.

Katanya, penggunaan AI masih dalam proses pembangunan kerana sistem itu perlu dilatih berdasarkan maklumat dan logik yang digunakan.

Selain pembiayaan, Tras turut menawarkan Program Waranti Lanjutan (EWP) untuk melanjutkan perlindungan kenderaan melepasi tempoh waranti pengeluar.

EWP ditawarkan dalam tiga pilihan: EWP Dalam Waranti untuk kenderaan yang masih di bawah waranti pengeluar, EWP Luar Waranti untuk kenderaan terpakai berusia sehingga 10 tahun, dan EWP EV yang turut merangkumi perlindungan komponen bateri. Perlindungan meliputi sehingga 15 komponen utama kenderaan.

Buat masa ini, EWP hanya tersedia untuk kenderaan jenama di bawah EON, dengan harga bermula serendah RM788. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini