BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 1,000 hingga 1,500 permohonan untuk menggunakan perkhidmatan Tras iaitu sebuah platform penyelesaian kewangan automotif digital pertama negara telah diterima hampir setiap bulan sejak ia dilancarkan pada September tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif EON Capital Sdn. Bhd., Kazrin Khairul Anuar berkata, sambutan itu dianggap amat menggalakkan memandangkan usia penubuhan Tras ketika ini belum mencapai tempoh satu tahun.
Susulan daripada sambutan berkenaan, beliau berkata, satu siri jelajah atau Tras Travel telah diadakan bagi memperkenal serta mempromosikan lagi jenama tersebut terutamanya di luar kawasan Lembah Kelang dengan Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan yang pertama.
“Tras merupakan sebuah platform dalam talian untuk membuat pembiayaan kereta. Tak kisahlah kereta apa. Proton ke, Perodua, Toyota atau Jetour sekali pun boleh guna perkhidmatan ini kerana kita bekerjasama dengan tiga buah bank sekali gus iaitu Bank Muamalat, Maybank dan AmBank.
“Sebelum ini, kita dah buat banyak program di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang. Kini, tiba masanya untuk kita turun padang ke negeri-negeri lain bagi mewujudkan kesedaran pengguna terutamanya bakal pemilik kereta mengenai kepentingan perkhidmatan ini kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia semasa menghadiri program Just Tras Lah! @ Juru sempena kempen Tras Travel di Proton EON Juru di sini, hari ini.
Difahamkan, selain pembiayaan, Tras juga menawarkan Program Waranti Lanjutan (Extended Warranty Program, EWP) iaitu satu kemudahan tambahan yang memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik kereta.
Program ini meliputi pembaikan dan servis selepas tempoh waranti asal tamat, sekali gus membantu pengguna mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Malah, Program Waranti Lanjutan ini juga dapat meningkatkan nilai jualan semula kereta kerana program tersebut dikaitkan dengan kereta yang dibeli, bukan kepada pemilik individu.
Sementara itu, Kazrin berkata, selain Juru di Pulau Pinang, pihaknya akan turun ke Kuching, Sarawak bagi kempen Tras Travel yang seterusnya, Julai depan.
“Di sini (Pulau Pinang) kita bekerjasama dengan Proton manakala di sana nanti (Sarawak) kita akan bekerjasama dengan Mitsubishi. Kita juga terbuka untuk bekerjasama dengan jenama-jenama (kenderaan) lain untuk lokasi lain pula selepas ini,” katanya.-UTUSAN










