Fesyen pantas punca lambakan sisa tekstil

Fesyen pantas punca lambakan sisa tekstil

MAIMUNAH Mohd. Sharif menyampaikan ucapan perasmian pada program Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan di Jalan Bintang, Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fesyen pantas atau fast fashion dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama peningkatan sisa tekstil di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, perubahan trend fesyen yang terlalu cepat telah mendorong orang ramai, khususnya golongan muda, untuk membeli pakaian baharu secara kerap.

“Sekarang ini fesyen bergerak terlalu pantas. Apabila gaya baharu muncul, golongan muda membeli pakaian baharu. Kita semua perlu memainkan peranan menjaga kebersihan dan kelestarian Kuala Lumpur agar kota ini terus indah dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan di Bukit Bintang di sini hari ini.

Beliau berkata, isu sisa tekstil dipilih sebagai fokus utama sambutan tahun ini kerana jumlahnya yang semakin meningkat dan menjadi cabaran besar dalam pengurusan sisa di ibu negara.

“Kalau setiap bulan kita membeli pakaian baharu tanpa kawalan, kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga ekonomi bandar dalam jangka panjang,” katanya.

Maimunah dalam pada itu menggalakkan masyarakat dan pihak industri fesyen untuk bekerjasama menguruskan sisa tekstil dengan lebih bijak serta mengamalkan gaya hidup lestari demi kesejahteraan bandar.

Fesyen pantas merujuk kepada penghasilan pakaian yang direka dan dipasarkan dalam tempoh singkat bagi memenuhi permintaan trend semasa.

Walaupun menawarkan harga yang murah dan gaya yang sentiasa segar, industri ini sering dikaitkan dengan penggunaan sumber yang tinggi dan pencemaran alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN