MBPP sasar pungut lebih 100 tan sisa tekstil tahun ini

MBPP sasar pungut lebih 100 tan sisa tekstil tahun ini

JOSEPH Ng Soon Siang (kiri) menunjukkan cara penggunaan tong kitar semula sisa tekstil di Taman Kejiranan Desa Mawar, Air Itam, Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lebih 100 tan sisa tekstil disasarkan dikutip oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bahagian pulau negeri ini pada tahun ini susulan pelaksanaan inisiatif Pusat Pengumpulan Sisa Tekstil.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, inisiatif hijau yang dilaksanakan bersama Last Line Clothing Malaysia (LLCM) itu merupakan langkah proaktif memperkukuh pengurusan sisa mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.

Menurutnya, Pulau Pinang menjana kira-kira 1,300 tan sisa setiap hari, dengan sekitar 500 tan berjaya diasingkan manakala selebihnya masih dilupuskan.

“Walaupun sisa tekstil hanya merangkumi kira-kira dua peratus daripada komposisi sisa, ia mampu mengurangkan beban kos pelupusan dan memberi impak positif kepada alam sekitar jika diurus dengan baik.

“Sejak pelaksanaan program tersebut bermula Ogos lalu, sebanyak 67.6 tan sisa tekstil berjaya dikumpulkan di seluruh bahagian pulau di negeri ini dan disasarkan pada tahun ini kami dapat kumpul lebih 100 tan sisa tekstil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang akhbar di pusat pengumpulan kitar semula tekstil yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang di Taman Kejiranan Desa Mawar di sini hari ini.

Rashidah berkata, MBPP telah menempatkan 35 tong sisa tekstil berwarna merah jambu di 31 lokasi strategik dan jumlah itu dijangka terus ditambah bergantung kepada permintaan komuniti serta kerjasama sektor swasta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, MBPP turut menguatkuasakan semula dasar pengasingan sisa di punca yang bermula 1 Julai 2024 dengan pendekatan pendidikan sehingga 31 Disember 2024, sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan bermula 1 Julai 2025. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN