Perintah Khidmat Masyarakat mula dikuatkuasakan di Pulau Pinang

Perintah Khidmat Masyarakat mula dikuatkuasakan di Pulau Pinang

H'NG Mooi Lye (berdiri, tengah) bersama Baderul Amin Abdul Hamid (berdiri, dua dari kiri) ketika sesi lawatan tapak pemantauan pelaksanaan PKM di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Tiada lagi amaran yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang terhadap mana-mana pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam di negeri ini berkuat kuasa hari ini.

Sebaliknya, mereka yang didapati bersalah kini berdepan dengan perintah mahkamah iaitu didenda sehingga RM2,000 atau menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) tidak melebihi 12 jam atau kedua-duanya sekali di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye, kegagalan mematuhi arahan terbabit khususnya melibatkan pelaksanaan PKM akan menyebabkan pesalah tersebut berdepan hukuman lebih berat iaitu didenda antara RM2,000 hingga RM10,000.

“Pelaksanaan PKM di Pulau Pinang tertakluk kepada Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 [Akta A1772] dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 [Akta A1773] yang diwartakan sejak 12 November tahun lepas.

“Di bawah akta itu, semua pesalah sama ada warga tempatan termasuk dari luar Pulau Pinang atau warga asing terpaksa berdepan dengan hukuman yang ditetapkan sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya selepas sesi lawatan tapak pemantauan pelaksanaan PKM di sini. Hadir sama Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, walaupun tidak ada pertambahan anggota dibuat di kedua-dua PBT iaitu di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menguatkuasakan peraturan itu, namun, setiap anggota yang terlibat telah dibekalkan dengan kamera badan atau ‘bodycam’ untuk diguna sebagai bukti penguatkuasaan.

“Jadi, ia tidak melibatkan sebarang kos tambahan dan kita juga berharap agar semua pihak termasuk para pengunjung lebih bertanggungjawab dan dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, MBSP dalam satu kenyataan memaklumkan, sebagai sebahagian daripada persediaan untuk melaksanakan PKM, beberapa inisiatif telah diambil termasuk menganjurkan kursus Tatacara Pengemukaan Dokumen Pendakwaan dan Pelaksanaan Pemantauan serta Operasi Penguatkuasaan PKM kepada 100 orang pegawai penguat kuasa.

Katanya, sebanyak 119 lokasi pelaksanaan PKM juga telah diluluskan melalui Mesyuarat Pentadbiran dan Kewangan Bil. 6/2026 bertarikh 12 Jun 2026 dan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP manakala sebanyak 26 unit ‘bodycam’ turut disediakan kepada pegawai penyiasat atau IO yang bertugas serta beberapa persediaan lain yang berkaitan.

Untuk rekod, Pulau Pinang merupakan antara beberapa negeri yang tidak menguatkuasakan PKM untuk kesalahan membuang sampah kecil bermula Januari 2026 kerana tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Sebaliknya, penguatkuasaan itu dibuat bermula 1 Julai bagi memberi peluang kepada kedua-dua PBT di negeri ini membuat persediaan yang secukupnya bagi tujuan berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN