Tiada pilih kasih, bertindak atas kajian - Maimunah

Tiada pilih kasih, bertindak atas kajian – Maimunah

MAIMUNAH Mohd. Sharif (kanan) bersama Gobind Singh Deo ketika mengadakan lawatan kerja rasmi di Pusat Arahan dan Kawalan Kuala Lumpur (KLCCC) di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif menafikan dakwaan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersifat pilih kasih dalam isu membabitkan perobohan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan baru-baru ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek teknikal dan keperluan hasil kajian impak trafik di kawasan berkenaan.

Malah, cadangan pembinaan jalan itu sudah bermula sejak 2017 susulan aduan penduduk mengenai kesesakan dan keadaan jalan yang sempit.

“Ia tertakluk pada cadangan pelan, pendudukan sendiri yang telah membuat aduan ada yang menyatakan jalan itu sempit dan sebagainya.

“Daripada itu juga kita telah buat libat urus bersama penduduk, kami juga ambil maklum ada bantahan. Selepas itu kita telah pun buat beberapa pindaan.

“Berkenaan pilih kasih, tidak ada, kita cuma melihat dari segi teknikal, data, keperluan trafik dan impak kajian. Kita telah buat pelan untuk jalan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di Kuala Lumpur and Control Centre (KLCCC), di sini hari ini.

Majlis lawatan itu turut dihadiri oleh, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Bhd (DNB), Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil.

Selain itu, Maimunah berkata, pihaknya telah turun padang untuk meneliti sendiri keadaan di lokasi selain berbincang dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan pihak berkaitan.

“Saya sudah turun padang dan melihat sendiri keadaan di sana.

“Pagi tadi (pada Selasa) saya menerima mesej daripada beliau, dan insya-Allah esok kita akan ke lapangan untuk berbincang dengan peniaga,” katanya.

Tambahnya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas pertemuan bersama peniaga dan Ahli Parlimen Titiwangsa berkenaan.

Sebelum ini, Johari mempersoal keputusan DBKL mahu merobohkan sembilan tapak perniagaan di Desa Pandan, di sini.

Katanya, keputusan itu dibuat tanpa melalui sesi libat urus bersama beliau dan kumpulan peniaga yang bakal terjejas akibat kerja perobohan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN