GEORGE TOWN: Sumbangan besar dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan mampan di peringkat domestik dan global oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif menerima pengiktirafan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Upacara Konvokesyen Ke-63 universiti itu yang bermula hari ini.
Pada upacara tersebut, Maimunah yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Hartanah bagi Petronas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah oleh Canselor USM iaitu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa sidang pertama konvokesyen berkenaan.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai penganugerahan berkenaan, beliau menyifatkan anugerah yang diterimanya itu bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk semua pihak yang pernah terlibat dengan ‘perjuangan’ hidupnya sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam selama 40 tahun.
Bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) itu berkata, tugasan serta tanggungjawab yang diterima telah membawa dirinya ‘mengembara’ ke segenap pelosok dunia termasuk sehingga ke beberapa negara yang asing walaupun beliau sebenarnya berasal dari sebuah kampung yang kecil di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Ini (anugerah yang diterima) bukanlah untuk menjadikan diri saya sebagai contoh, tetapi, saya mahu semangat perjuangan itu diteruskan oleh graduan-graduan yang baharu masuk (ke universiti) serta mereka yang baharu sahaja keluar dari universiti (para graduan),” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang pernah menyambung pengajiannya di USM dalam bidang Sarjana Perancangan Bandar pada 1995 menitipkan nasihat kepada pemimpin-pemimpin muda agar tidak melupakan amanah terhadap masyarakat dalam usaha membina masa depan yang semakin urban dan dinamik dewasa ini.
“Tuntutlah kepimpinan yang bertindak dan bukan sekadar memukau dengan kata-kata sahaja. Sekarang ini, kita melihat ramai (pemimpin) yang hanya pandai berjanji, tetapi sedikit yang menunaikannya.
“Masyarakat pada hari ini juga tidak mahukan slogan, tetapi, mereka mahukan kejujuran, integriti dan tindakan yang membawa perubahan,” ujarnya yang turut menggesa generasi muda menjadi lebih berani dalam menuntut kebenaran dan tidak gentar untuk mempersoalkan yang salah.
Secara keseluruhannya, seramai 9,347 graduan dijangka menerima ijazah dan diploma masing-masing pada upacara konvokesyen itu yang akan berlangsung sehingga 2 Disember ini. -UTUSAN










