SHAH ALAM: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Wanita Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal mempertahankan institusi Presiden susulan isu insiden kekecohan ketika perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu semalam.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih secara demokrasi dan menjadi Presiden sehingga penggal berakhir pada 2027.
“Kalau kumpul tandatangan juga mahu hantar kemana? Tan Sri dipilih menjadi Presiden sehingga tempoh tamat dan ia tidak boleh digugat.
“Armada teguh dengan keputusan parti dan ia tidak menjejaskan kepimpinan ketika ini. Kejadian itu hanya melibatkan serpihan kecil dan kita masih junjung institusi Presiden,” katanya hari ini.
Tambah Harris, beliau setakat ini juga belum melihat atau diberikan sebarang tandatangan berkaitan isu menjatuhkan Presiden.
“Ia disifatkan cuma khabar-khabar angin semata-mata. Semua kepimpinan dinasihatkan supaya kekal menjunjung institusi Presiden dan memfokuskan persiapan menghadapi pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya turut kecewa dan kesal dengan insiden berkenaan.
“Pada waktu itu, Presiden memberi ucapan yang cukup baik berkaitan tawaran jika diberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN).
“Kita sepatutnya memfokuskan kepada pengukuhan parti supaya dapat menumpukan kepada persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) dan bersatu menuju kemenangan,” katanya.
Tambah beliau, segala perkara yang mengganggu fokus itu perlu diketepikan ketika ini.
“Srikandi ibarat ’emak-emak’ dan ejen pendamai bagi menjernihkan keadaan seumpama itu. Kita jangan jadi batu api untuk menghangatkan lagi keadaan namun memastikan keadaan lebih baik,” katanya.
Semalam media melaporkan suasana PAT kelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, bertukar kecoh apabila berlaku insiden provokasi oleh beberapa individu
Insiden kira-kira pukul 10.20 malam itu berlaku ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar merasmikan himpunan berkenaan. – UTUSAN










