Mahu urus kehidupan peribadi, ambil masa susun langkah politik

Mahu urus kehidupan peribadi, ambil masa susun langkah politik

SYED Saddiq Abdul Rahman semasa sidang akhbar di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui memerlukan sedikit masa untuk menyusun langkah politiknya selepas dibebaskan daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau tidak pernah meninggalkan parti diasaskannya, meskipun sudah tidak memegang jawatan utama.

“Saya sentiasa bersama Muda, saya tidak pernah meninggalkan Muda. Berhubung perancangan politik selepas ini, berilah saya sedikit masa untuk menelitinya.

“Saya juga mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan menguruskan kehidupan peribadi terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Sebentar tadi, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan pendakwaan terhadap Syed Saddiq, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq menegaskan, semangat untuk terus menyumbang kepada negara tidak akan pernah luntur.

“Api perjuangan untuk membantu membina semula Malaysia tidak akan sesekali padam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Muar yang terus memberi kepercayaan kepadanya, walaupun berdepan proses perbicaraan sejak enam tahun lalu.

Katanya, rakyat Muar tetap memberikan sokongan ketika beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), meskipun Mahkamah Tinggi telah memutuskan wujud kes prima facie terhadapnya.

“Apabila saya dibebaskan di Mahkamah Rayuan, saya tidak pernah berhenti mencari jalan untuk membela nasib mereka, membantu kebajikan mereka dan saya akan teruskan perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN