Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf bebaskan Syed Saddiq

Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf bebaskan Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) ketika menghadiri prosiding rayuan akhir pendakwaan di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada tuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu.

Peguam mewakli Ahli Parlimen Muar itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, tindakan mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang RM1 juta tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan mahupun satu bentuk perbuatan bersubahat.

Hujah beliau, perbuatan tersebut tidak memenuhi mana-mana cabang actus reus di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang menjadi asas bagi pertuduhan pecah amanah (CBT).

Actus reus merujuk kepada perbuatan fizikal atau tindakan yang membentuk elemen penting sesuatu kesalahan jenayah.

Bagi membuktikan kesalahan CBT, Hisyam berhujah, terdapat lima unsur perbuatan yang boleh membentuk actus reus iaitu menyalahgunakan harta, menggelapkan harta, menyimpan harta secara tidak jujur, melupuskan harta secara tidak jujur serta menghantar atau memindahkan harta secara tidak jujur.

“Bagi membuktikan perbuatan bersubahat, syaratnya jelas. Perbuatan yang disubahat itu sendiri mestilah satu kesalahan. Bagaimanapun, perbuatan Rafiq mengeluarkan RM1 juta bukan satu kesalahan di bawah mana-mana cabang CBT.

“Inilah undang-undangnya. Seksyen 108 Kanun Keseksaan mentakrifkan seseorang dianggap bersubahat jika dia menyubahat melakukan sesuatu kesalahan, atau bersubahat dalam melakukan sesuatu perbuatan yang, sekiranya dilakukan sepenuhnya, akan menjadi suatu kesalahan,” katanya,

Peguam itu berhujah demikian Hisyam berhujah demikian pada prosiding rayuan pihak pendakwaan bagi mengenepikan pembebasan wakil rakyat itu dari sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq, 33, diwakili Hisyam bersama peguam-peguam Datuk S. Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet.

Hisyam turut berhujah, tuduhan perayu yang menyatakan Syed Saddiq berniat jahat dan berperilaku tidak jujur adalah tidak benar, memandangkan responden tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada pengeluaran wang RM1 juta tersebut.

Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan Wan Shaharuddin semalam yang menyatakan Mahkamah Tinggi telah ‘memilih-milih’ keterangan yang dianggap sesuai sehingga gagal membuat penilaian secara kritikal dan adil.

Dakwaan tersebut katanya tidak bermerit kerana Mahkamah Rayuan telah menilai semula semua keterangan secara menyeluruh sebelum membuat kesimpulan untuk tidak mensabitkan Syed Saddiq atas tuduhan penyubahatan.

Bagi pertuduhan menyalahguna RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Hisyam berhujah, pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas kerana perayu gagal menamakan siapakah pemilik sebenar wang tersebut.

Beliau berkata, Rafiq selaku saksi pendakwaan ke-13 juga tidak pernah menyatakan bahawa RM120,000 itu milik ABBE, Armada, Bersatu atau mana-mana pihak lain selain responden sendiri.

“Keterangan SP13 (Rafiq) turut menyokong dapatan itu apabila saksi mengesahkan akaun ABBE telah dikosongkan terlebih dahulu bagi tujuan kutipan dana (fundraising) yang dianjurkan Syed Saddiq.

“Berdasarkan keterangan itu, tindakan pengeluaran wang tersebut jelas tidak memenuhi unsur actus reus bagi kesalahan di bawah Seksyen 403 yang memerlukan wujudnya perbuatan menyalahgunakan, menukar atau melupuskan harta milik orang lain secara tidak jujur,” katanya.

Malah, Hisyam berhujah, Rafiq sendiri mencadangkan kepada bekas pegawai khas kepada Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz supaya responden meminjam akaun ABBE bagi mengumpul dana untuk kempen pilihan raya.

“Menurut Rafiq, Syed Saddiq merancang majlis makan malam bagi kutipan dana untuk kempen pilihan rayanya sendiri dan beliau tidak membentangkan jumlah kutipan tersebut kepada EXCO kerana dana itu milik Syed Saddiq.

“Malah, keterangan dari pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin, selaku saksi ke-28 turut mengesahkan Syed Saddiq telah menggunakan wangnya sendiri terlebih dahulu dan apa yang dikutip kemudiannya dianggap sebagai bayaran balik (reimbursement),” kata peguam itu.

Sehubungan itu, Hisyam berhujah, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa Rafiq memegang wang tersebut sebagai pemegang amanah (in trust) bagi pihak Syed Saddiq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN